suria

Kereta Bertembung Lori: Tiga Maut, Dua Cedera

LUMUT: Tiga terbunuh manakala dua lagi parah apabila kereta Perodua Kanchil yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 4, Jalan Seri Manjung-Segari dekat sini malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Mohd Jamil Osman berkata kejadian berlaku pada pukul 11.30 malam.

Mangsa yang maut ialah Roslan Osman, 35, anak perempuannya Puteri Nurul Najwa Roslan, 12, dan anak saudaranya Ainuddin Abd Wahab, 15.

Mohd Jamil berkata pemandu Produa Kancil dikenali Zolkiffli Zakaria, 38, cedera parah di kepala manakala seorang lagi penumpang kereta berkenaan, Ahmad Zamani Mat Yusof, 33, patah kedua belah kaki.

Beliau berkata mangsa dalam perjalanan dari sini ke kampung mereka di Permatang Raja, Pantai Remis, kira-kira 30 kilomter dari sini. Beliau berkata pemandu dan dua kelindan lori hanya cedera ringan.

Mohd Jamil berkata kemalangan itu berlaku apabila kereta berkenaan memasuki laluan bertentangan untuk memotong sebuah kenderaan lain.

"Pertembungan kedua kenderaan itu menyebabkan dua penumpang Perodua Kancil itu mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, hari ini," katanya.

Mohd Jamil berkata anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain