suria

Hudud: Nik Aziz Sambut Baik Pendirian Pakatan Rakyat

PETALING JAYA: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyambut baik keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat berhubung pendirian pembangkang mengenai pelaksanaan hukum hudud.

Menurut Nik Abdul Aziz, beliau bersyukur apabila sekutu PAS iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pakatan Rakyat memahami hasrat parti berkenaan untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

"Alhamdulillah, saya menerima baik dan sangat bersyukur kerana rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat memahami hasrat Kelantan apatah lagi kerana ia (hukum hudud) tidak menyentuh bukan muslim," katanya pada Khamis.

Bagaimanapun menerusi komen yang dipetik daripada akaun facebook peribadi Mursyidul Am PAS itu, beliau menyatakan pandangan bertentangan dengan pendirian Pakatan Rakyat malam tadi yang sepakat menolak perlaksanaan hukum hudud.

"Bismillah, saya dimaklumkan keputusan pimpinan Pakatan Rakyat semalam (Rabu) yang menghormati hasrat Kelantan untuk memasukkan hukum hudud di dalam undang-undang syariah (Kelantan)," katanya.

Malah Nik Abdul Aziz turut menyalahkan pentadbiran kerajaan Pusat pimpinan Umno yang menurutnya menghalang pelaksanaan undang-undang berkenaan di Kelantan.

"Tinggal lagi sekarang, kerajaan Pusat yang didokong oleh Umno masih menghalang hasrat kami," katanya.

Pada Rabu, Pakatan Rakyat sepakat mengumumkan pendirian tidak akan melaksanakan undang-undang hudud kerana pelaksanaannya tidak menepati dasar bersama pakatan itu, Perlembagaan Persekutuan dan kandungan Buku Jingga.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pihaknya menghormati pendirian PAS berhubung undang-undang berkenaan tetapi pada masa sama menerima perbezaan pendirian DAP yang membantah pelaksanaannya.

Isu hudud dibangkitkan Nik Abdul Aziz sebelum ini yang bercadang untuk melaksanakannya di Kelantan.

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat bantahan DAP.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain