suria

Dua Warga Thailand Bebas Tuduhan Edar Dadah

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini, Khamis melepas dan membebaskan dua lelaki warga negara Thailand, tanpa perlu dipanggil membela diri terhadap tuduhan mengedar hampir 70 kilogram dadah jenis kanabis lima tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Zakiah Kassim membuat keputusan itu terhadap Bueraheng Hawae, 40, dan Mahamat Samueri Useng, 32, dari Narathiwat, Thailand selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan itu.

Bueraheng seorang peniaga pasar malam, manakala rakannya Mahamat Samueri yang bekerja sebagai pemandu pelancong dituduh mengedar 69,512 gram kanabis di Kilometer 9 Kampung Lembah Palas, Mukim Sungai Laka, Changlun dekat sini pada 7.30 malam, 27 April 2006.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norhayati Ibrahim manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Jagdeep Singh Deo. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain