suria

Bekas Majistret Bebas Tuduhan Ikrar Akuan Palsu

SUNGAI PETANI: Mahkamah Sesyen Sungai Petani di sini, Khamis melepas dan membebaskan seorang bekas majistret daripada tuduhan mengikrarkan satu akuan berkanun yang dalam pengetahuannya adalah palsu tiga tahun lalu.

Majistret Norsalha Hamzah melepas dan membebaskan Ahmad Abdul Rashid, 62, tanpa perlu dipanggil membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan.

Ahmad dituduh mengikrarkan 'Power of Attorney' yang diketahuinya palsu atau tidak benar bertarikh 12 Jan 1994 di Bilik 4, Tingkat Atas, 21 Jalan Ibrahim di sini, pada 11 Jun 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 199 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 193 kanun yang sama, jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa raya Nazrul Nizam Mohd Zameri, manakala Ahmad diwakili peguam N.Rajivan.

Sementara itu, Ahmad ketika ditemui pemberita memberitahu dia sangat bersyukur dengan keputusan berkenaan sambil menyifatkan kejadian itu sebagai 'titik hitam' dalam kehidupannya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain