suria

297 Terima Darjah Kebesaran Persekutuan 2011

PUTRAJAYA: Pakar Kardiologi Hospital Pantai Kuala Lumpur Tan Sri Dr Ridzwan Abu Bakar mengetuai senarai 297 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2011 yang menerima anugerah asing-masing daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Melawati di sini, Khamis.

Beliau adalah penerima tunggal Darjah Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran 'Tan Sri', yang dianugerahkan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong pada Jun lalu.

Lima yang lain adalah penerima Darjah Panglima Jasa Negara yang membawa gelaran 'Datuk' terdiri Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Kelantan Datuk Siti Jeliha Hussin, Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Prof Datuk Dr Abdul Kadir Taib dan bekas Panglima 4 Briged, Brig Jen Datuk Mohd Ariffin Mohd Rosli (B).

Turut menerima gelaran sama adalah Anggota Dewan Undangan Negeri Johor Datuk Munusamy a/l Mareemuthu dan Pengurus Sukan, Majlis Sukan Negara Malaysia Datuk Magendran a/l M.Munisamy.

Empat lagi menerima Darjah Johan Mangku Negara manakala pendakwah Prof Madya Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah adalah antara tujuh penerima Darjah Johan Setia Mahkota.

Selain itu seorang menerima Darjah Johan Setia Diraja, 63 menerima Darjah Kesatria Mangku Negara, 103 menerima Darjah Ahli Mangku Negara dan 113 lagi menerima Pingat Pangkuan Negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain