suria

Tuanku Mizan Kunjungi Presiden Vietnam

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan melakukan kunjungan ke atas Presiden Vietnam, Truong Tan Sang dan isteri Mai Thi Hanh di hotel penginapannya, Sheraton Imperial di sini, Rabu.

Dalam kunjungan pada pukul 5.20 petang itu, Seri Paduka diiringi Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Sang, yang dilantik sebagai Presiden Vietnam pada Julai lepas, tiba di Kuala Lumpur untuk lawatan tiga hari.

Beliau diiringi timbalannya, Nyugen Thien Nahn dan beberapa menteri kabinet serta pegawai tinggi kerajaan.

Sang dan isteri kemudian dikunjungi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor pada 5.40 petang.

Pertemuan mereka berlangsung selama 45 minit. Turut serta ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha serta isteri Datin Seri Chan Tat Chin, dan Timbalan Menteri Luar Senator A. Kohilan Pillay dan isteri Rajakumari Jeyaraman.

Terdahulu, tetamu negara itu diberikan sambutan rasmi di Dataran Parlimen.

Kunjungan itu adalah sebagai membalas kunjungan Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah ke Vietnam pada 2009. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain