suria

“Saya Tak Akan Letak Jawatan Melainkan Ia Kehendak Majoriti” - Zaid Ibrahim

PETALING JAYA: Presiden Kita, Datuk Mohd Zaid Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak akan sama sekali meletakkan jawatannya hanya kerana ada segelintir ahli parti dan orang luar mahu beliau berbuat demikian.

Sebaliknya beliau mengingatkan semua ahli parti bahawa Kita kini sedang ‘diserang’ dari dalam dan luar dengan cara menggulingkan pucuk pimpinan dan menjahamankan parti.

Beliau mendakwa, terdapat kuasa-kuasa dari luar terlibat dalam usaha untuk menjatuhkannya menerusi tindak-tanduk orang dalam.

“Mungkin terdapat pihak-pihak yang merasa terancam kerana Kita telah meninggalkan impak yang besar dalam arena politik tanah air walaupun ia adalah sebuah parti baru,” tegas beliau dalam satu sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat eksekutif parti itu yang keempat di sini Selasa.

Zaid kemudian menegaskan bahawa beliau hanya akan meletakkan jawatan sekiranya majoriti ahli parti memintanya berbuat demikian.

Sebaliknya Zaid meminta segelintir ahli parti yang tidak berpuas hati supaya segera memanggil mesyuarat agung luar biasa jika mereka benar-benar mahu menjatuhkannya.

Beliau juga menolak dakwaan yang dirinya adalah “gila kuasa” dengan berkata, jika itulah tujuannya, beliau sudah pasti akan merangka perlembagaan parti yang menyusahkan sebarang usaha untuk menukar pucuk pimpinan.

“Parti-parti lain mungkin meletakkan syarat sehingga 75% sokongan sekiranya mahu menukar pemimpin tetapi Kita hanya meletakkan syarat 51%,” ujarnya.

Bekas Setiausaha Pusat Kita, Abdul Latif Tambi mendakwa parti itu hanya mempunyai 458 ahli yang berdaftar sehingga 19 April lalu tetapi Setiausaha yang baru dilantik, Masrum Dayat berkata, Kita mempunyai 3,000 ahli berdaftar.

Isu mengenai cara kepimpinan Zaid dalam Kita timbul selepas beliau dikatakan memecat Latif dan ahli-ahli jawatankuasa eksekutif pusat iaitu Muhammad Firdaus Christopher, Zahrein Zakariah dan Dr G. Rajaratnam dengan cara yang tidak betul iaitu dengan menghantar sms sahaja dan tanpa sebab.

Zaid berkata, Kita adalah sebuah parti yang telus dan terbuka dan akan menjawab segala tuduhan dan dakwaan sekiranya Pendaftar Pertubuhan menulis secara rasmi meminta beliau berbuat demikian.

Zaid juga berkata, beliau mengesyaki ‘pemberontakan dalam’ ini tercetus apabila terdapat pihak-pihak yang merasakan bahawa beliau sedang membawa Kita ke arah Barisan Nasional ekoran sokongannya ke atas tindakan Perdana Menteri mengisytiharkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri baru-baru ini.

“Kita akan terus berdiri di atas prinsip-prinsip yang betul iaitu kita akan menyokong sesuatu yang baik dan menentang sesuatu yang salah dan tidak benar,” tegasnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain