suria

Sarawak Lancar Logo Khas Untuk Taska Berdaftar

KUCHING: Sarawak pada Rabu melancarkan logo khas bagi taska berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberi jaminan pematuhan kualiti daripada segi keselamatan dan tahap latihan pengasuh.

Pengarah JKM Sarawak Noriah Ahmad berkata, logo khas itu yang pertama seumpamanya di negara ini, adalah hasil idea Menteri di Pejabat Ketua Menteri Sarawak Datuk Fatimah Abdullah yang mahu kualiti taska dipertingkatkan melalui satu standard kualiti yang konsisten.

"Inisiatif ini adalah satu langkah penjenamaan yang unik serta mampu memberi nilai tambah dan identiti yang baik kepada perkhidmatan taska," katanya di majlis pelancaran rasmi logo taska berdaftar Sarawak di sini, Rabu.

Noriah berkata, setakat 12 Sept tahun ini sebanyak 47 buah taska atau 32.2 peratus taska berdaftar dengan JKM Sarawak dan jumlah ini meningkat 12.5 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

Katanya pengusaha taska tidak perlu memperbaharui lesen untuk beroperasi setiap tahun kerana tempoh lesen telah dipanjang kepada lima tahun.

Kuching mempunyai paling banyak taska berdaftar iaitu 28 buah, Bintulu (8), Miri (4), Samarahan dan Limbang masing-masing 3 dan Sibu (1).

Fatimah yang melancarkan logo khas itu berkata ibubapa tak perlu bimbang dengan kualiti tenaga pengasuh bagi taska berdaftar kerana mereka diwajibkan untuk mengikuti latihan asuhan kanak-kanak yang berumur di bawah empat tahun dikendalikan oleh JKM Sarawak.

Taska berdaftar dengan logo khas tersebut juga telah mendapat kelulusan Jabatan Bomba dan Penyelamat,Jabatan Tanah dan Survei, Jabatan Kesihatan, JKM dan majlis kerajaan tempatan, katanya.

Fatimah berkata, bagi mengurangkan karenah birokrasi yang menjadi rungutan pengusaha taska di Sarawak, satu makmal khas akan diwujudkan bagi mencari cara untuk mempercepatkan tempoh pendaftaran taska, yang sebelum ini memakan masa lebih dari setahun ke minimum tiga bulan.

Logo berkenaan berbentuk lambang cinta dan menampilkan imej dua kanak-kanak lelaki dan seorang perempuan, yang memakai pakaian bermotifkan warna bendera Malaysia dan Sarawak. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain