suria

Polis Tahan Empat Lelaki Bantu Siasatan Kes Bunuh Warga Emas

KAJANG: Polis menahan empat lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh seorang wanita berusia 64 tahun di Kampung Pasir Baru, Jalan Sungai Lalang, Semenyih, dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Abdul Rashid Abdul Wahab berkata mereka merupakan seorang rakyat tempatan dan tiga rakyat Myanmar yang diupah keluarga mangsa untuk memasang khemah sempena satu majlis makan malam.

"Kesemua empat lelaki berusia dalam lingkungan 20 dan 30-an itu ditahan di sekitar tempat kejadian beberapa jam selepas kejadian. Kesemua mereka kini direman selama empat hari mulai Rabu bagi membantu siasatan.

"Mereka memasang khemah di hadapan rumah mangsa pada malam sebelum kejadian dan merupakan individu terakhir yang dilihat berada di sekitar kawasan rumah mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Rabu.

Beliau berkata walaupun polis telah menahan empat lelaki terbabit, siasatan kes itu masih diteruskan.

"Kita tidak boleh anggap ia (kes) telah selesai kerana mereka ditahan bagi membantu siasatan. Siasatan masih lagi dilakukan bagi mencari motif sebenar kejadian itu," katanya.

Dalam kejadian itu, seorang wanita S. Danaletcheme, 64, ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tikaman di leher dan luka di kepala serta terbenam dalam kolah bilik air di rumahnya kira-kira pukul 1 petang.

Abdul Rashid berkata berdasarkan keadaan barang-barang di rumah itu yang berselerak, polis percaya wanita terbabit disamun sebelum dibunuh. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain