suria

Peranan Unesco Sebagai Pendukung EFA Perlu Dipergiat - Muhyiddin

PARIS: Peranan Unesco sebagai pendukung prinsip "Pendidikan Untuk Semua" (EFA) perlu dipergiat untuk membolehkannya mengetahui dengan pasti cabaran yang dihadapi dalam memberi sokongan kepada beberapa negara anggota yang mungkin tidak mampu memenuhi tarikh akhir pematuhan EFA menjelang 2015.

Berucap pada mesyuarat lembaga eksekutif Unesco (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu) di sini hari ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, berkata jalinan hubungan di peringkat rantau kecil, serantau dan global untuk menjayakan dan melaksanakan EFA perlu dipertingkatkan.

Katanya agensi pelaksana EFA di peringkat negara pula perlu bekerjasama dengan agensi nasional untuk memaksimumkan sumber, keberkesanan kos, pembinaan keupayaan dan perkongsian pengetahuan.

"Cadangan mengenai perwakilan di peringkat serantau dalam penetapan format mesyuarat EFA global menjelang akhir 2011 perlu diperkemaskan untuk memastikan kepimpinan di peringkat serantau berkeupayaan menggerakkan dan menguasai semua inisiatif EFA di peringkat serantau bagi membolehkannya menyediakan laporan untuk peringkat global.

"Ini tidak boleh sama sekali mengetepikan penyertaan negara kecil dan yang menghadapi risiko, selalunya merupakan negara yang paling terdedah kepada kegagalan serta yang memerlukan sokongan untuk membolehkan mereka mencapai matlamat EFA," katanya.

Muhyiddin berkata hakikatnya ialah ada negara yang tidak mampu memenuhi tarikh akhir itu dan ini memerlukan Unesco melaksanakan EFA hingga selepas 2015.

Beliau juga menyentuh tentang Program Transformasi Kerajan, yang turut merangkumi bidang pendidikan sebagai antara Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

"Perkara yang menggembirakan kami ialah kelompok pertama pelajar sekolah rendah kami mempamerkan peningkatan daripada segi kadar celik huruf dan angka,melebihi sasaran yang ditetapkan sebanyak 95 peratus," katanya.

Menurut Muhyiddin, ini dicapai melalui fokus yang diberi terhadap usaha menambah baik pencapaian pelajar dan pemberian motivasi secara berterusan kepada pihak pengurusan sekolah dan guru.

Katanya Malaysia maklum tentang keprihatinan Unesco dan cabaran yang dihadapinya dalam menyepadukan konsep Pendidikan Untuk Pembangunan Lestari (ESD) ke dalam kurikulum sekolah dan sistem pendidikan. ESD merupakan suatu konsep yang bukan saja meliputi dimensi persekitaran tetapi juga pembangunan insan dan budaya.

Beliau berkata kelestarian masa depan bergantung pada usaha melengkapkan kanak-kanak dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran sebagai persiapan untuk mereka berpindah daripada alam persekolahan kepada alam pekerjaan.

"Kelestarian masa depan juga bergantung pada usaha memelihara budaya keamanan dan oleh itu, adalah amat penting benih-benih kepelbagaian disemai di peringkat awal persekolahan lagi," katanya sambil menyarankan kepada Unesco supaya memastikan pembaharuan kurikulum dan pedagogi turut meliputi nilai moral dan etika.

Beliau berkata memandangkan Malaysia sedang melakukan semakan semula dasar pelajarannya, ia berharap dapat bekerjasama dengan Unesco tentang perkara itu menjelang akhir tahun ini.

Mengenai tempoh Malaysia menduduki kerusi lembaga eksekutif Unesco yang akan berakhir Oktober ini, beliau melahirkan harapan agar tempat itu diisi oleh sebuah negara anggota Asean.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pengarah Unesco Irina Bokova serta anggota badan dunia itu yang telah memberi sokongan berterusan mereka kepada Malaysia, Muhyiddin berjanji bahawa Kuala Lumpur akan memberi komitmen dan sokongan padu kepada semua inisiatif dan program pertubuhan itu.

"Kami ingin menyampaikan penghargaan kami kepada Unesco dan semua rakan kami di sini kerana terus berpegang teguh dengan misi kita, walaupun dunia sedang mengalami kemerosotan ekonomi dan sesetengah wilayah dilanda bencana alam serta peperangan," katanya. Bercakap kepada wartawan Malaysia kemudian, Muhyiddin berkata Bokova melahirkan penghargaan dan terima kasih kerana selama empat tahun menjadi anggota lembaga eksekutif badan itu, Malaysia telah memainkan peranan aktif.

Beliau berkata Ketua Pengarah Unesco itu menyatakan penghargaan itu kepada beliau pada majlis resepsi yang dianjurkan Malaysia untuk semua anggota lembaga itu di ibu pejabat Unesco di sini pada Isnin.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai kajian semula sistem pendidikan negara, Timbalan Perdana Menteri berkata Unesco akan turut terlibat daripada segi memberikan input.

Kemungkinan Unesco akan menghantar dua pakar dalam bidang pendidikan teknikal dan transformasi bagi tujuan itu, katanya.

Muhyiddin yang tiba pada Isnin, kemudiannya menghadiri majlis sambutan Aidilfitri di Pejabat Kedutaan Malaysia sebelum berlepas pulang ke tanah air. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain