suria

Pemeriksaan Parlimen Terhadap Perlanggaran, Salah Laku Eksekutif Jadi Masalah Anggota Parlimen

KUALA LUMPUR: Soal mengenai siasatan parlimen terhadap sebarang perlanggaran dan salahlaku eksekutif kini menjadi masalah berlarutan dihadapi para anggota parlimen, kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata pemikir dan penulis mengenai perkara itu sering menyalahkan kemunculan parti-parti politik di Parlimen.

"Kerajaan politik telah membawa bersamanya, sistem Kabinet, Tanggungjawab Kementerian Bersama dan sistem whip parti.

"Akibat dari sistem ini ialah peraturan majoriti sewenangnya dan politik partisan di Dewan di mana garis pemisah antara benar dan salah jadi kabur," kata beliau.

Beliau menyatakan demikian dalam ucapan pembukaan forum hak asasi manusia berjudul "Memperkasa Institusi Demokrasi dan Pematuhan Hak Asasi Manusia di Malaysia, Ke Arah Pilihan Raya Umum ke 13 dan Memilih anggota Parlimen yang mesra Hak Asasi Manusia", di sini, Rabu.

Wan Junaidi berkata tidak seperti sesetengah parlimen Eropah dimana jawatankuasa bisnes-pengurus bisnes, wakil-wakil parti, presiden Dewan, dan anggota dewan membuat keputusan agenda, tertakluk kepada keputusan terakhir Dewan, Parlimen Malaysia mewarisi cara Britain hampir keseluruhannya, di mana kerajaan semasa membuat keputusan mencadang dan menolak agenda parlimen.

"Ia bukan kerajaan oleh Parlimen tetapi kerajaan menerusi Parlimen, yang bererti kerajaan majoriti mempunyai hak mutlak untuk mengawal Parlimen dengan segala kuasa dan autoritinya," kata beliau.

Wan Junaidi berkata satu-satunya fungsi Parlimen kita adalah semata-mata untuk mengesahkan apa yang kerajaan lakukan dalam setiap aspek.

"Kita tidak mempunyai jawatankuasa pilihan jabatan untuk memeriksa fungsi kerajaan yang tidak bergerak ataupun kuasa untuk melantik jawatankuasa kumpulan berkepentingan.

"Kini, kita berada jauh di belakang berbanding dengan anggota-anggota Parlimen di tempat lain.

"Apa yang kita ada ialah Lima Jawatankuasa Tetap dan satu sistem di mana pada kala tertentu Jawatankuasa Pilihan Khas dibentuk oleh kerajaan untuk mengkaji perkara tertentu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain