suria

Pemandu Bas Terlepas Tali Gantung

PUTRAJAYA: Seorang pemandu bas pelancong terlepas hukuman gantung setelah mahkamah rayuan di sini pada Rabu mengenepikan sabit kesalahan dan hukuman mati kerana membunuh kawannya lima tahun lepas.

Panel mahkamah rayuan tiga orang anggota diketuai Datin Paduka Zaleha Zahari bagaimanapun menjatuhkan hukuman 18 tahun penjara ke atas Mahadzar Mohd Tap selepas mendapatinya bersalah menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.

Hakim Zaleha menganggotai panel bersama Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Linton Albert memerintahkan Mahadzar, 37, menjalani hukuman penjara bermula daripada tarikh dia ditangkap pada 10 Okt 2006.

Panel mahkamah mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang mendapati Mahadzar bersalah membunuh Kamariza Baharin, 45, di hadapan sebuah rumah di Jalan Kedidi 3, Taman Paroi Jaya, Seremban antara pukul 10 pagi hingga 11 pagi pada 10 Okt 2006.

Mahkamah rayuan sebaliknya menerima rayuan Mahadzar untuk mengurangkan pertuduhan kepada menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.

Terdahulu, ketika mendesak mahkamah mengurangkan pertuduhan kepada menyebabkan kematian tanpa niat membunuh, peguam kepada Mahadzar, Hisyam Teh Poh Teik berhujah bahawa anak guamnya itu telah tidak sengaja menikam si mati dengan sebilah pisau.

Katanya, pada hari kejadian Mahadzar pergi ke rumah si mati bukan dengan niat untuk membunuhnya tetapi datang menuntut RM100 yang mana si mati berhutang dengannya.

Hisyam berkata pergaduhan telah terjadi si mati memukul Mahadzar di kepala menggunakan sebatang kayu menyebabkannya (Mahadzar) mengambil pisau dari motosikalnya melibas si mati.

Timbalan Pendakwaraya Mohamad Abazafree Mohamad Abbas berhujah bahawa Mahkamah Tinggi dengan betul membuat keputusan mensabitkan Mahadzar berpandukan undang-undang dan fakta di samping menimbangkan pembelaan Mahadzar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain