suria

Lagi Rakyat Malaysia Maut Akibat Bom Di Sungai Golok

KOTA BARU: Seorang lagi rakyat Malaysia meninggal dunia akibat tragedi letupan bom yang berlaku di Sungai Golok, Thailand, hampir dua minggu lalu, menjadikan jumlah rakyat negara ini yang maut meningkat kepada lima orang.

Chan Yew Soon, 63, yang berasal dari Kampung Kubur Kuda di sini, meninggal dunia di Hospital Hadyai, Songkhla, selatan Thailand pada 7.30 pagi waktu tempatan.

Adik mangsa, Chan Yew Fatt, 44, berkata mendiang abangnya itu mengalami kecederaan parah dalam tragedi letupan bom pada 16 Sept lalu dan dimasukkan ke Hospital Hadyai bagi rawatan lanjut.

"Mayat abang saya terlebih dahulu akan dibakar sebelum dibawa pulang ke sini untuk disemadikan.

"Dia cedera parah selepas terkena letupan bom di satu kawasan medan selera berdekatan sebuah tokong," katanya kepada pemberita, di sini.

Mendiang merupakan seorang juru pendawai elektrik dan dikatakan ke Sungai Golok atas urusan peribadi.

Sebelum ini, empat rakyat Malaysia termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun terbunuh dalam siri letupan bom yang dipercayai dilakukan puak pemisah yang turut dikaitkan dengan sindiket dadah di negara jiran itu.

Mereka yang maut dikenali sebagai Wong Kai Sean, 3, datuknya Wong Hong Yep, 64 dan Chan Yau Wing, 52, dari Kelantan manakala Foong Too Keh, 45, dari Pahang.

Kejadian turut mengorbankan seorang rakyat Thailand yang ketika itu dilapor sedang membantu mangsa letupan tersebut.

Datuk dan cucunya yang maut itu berada di Sungai Golok bersama tiga lagi anggota keluarga mereka manakala Foong pula bersama tiga rakannya, dan masing-masing baru selesai menjamu selera sebelum letupan berlaku.

Pihak berkuasa negara itu turut melaporkan 18 lagi rakyat Malaysia adalah antara 60 yang cedera akibat insiden tersebut.

Kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Sungai Golok dan Hospital Hadyai, Songkhla untuk menerima rawatan.

Sementara itu, Konsul Besar Malaysia di Songkhla Mohd Aini Atan ketika dihubungi mengesahkan kematian terbaru tersebut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain