suria

Kes Bunuh Isteri: Mahkamah Rayuan Kekalkan Pembebasan Doktor

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu mengekalkan pembebasan seorang doktor yang menghadapi tuduhan membunuh isterinya hampir empat tahun lepas.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datin Paduka Zaleha Zahari, Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Linton Albert sebulat suara memutuskan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Asmabi Mohamad telah menimbangkan kesemua bukti secara telus dan membuat keputusan yang betul.

Mahkamah menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 Ogos tahun lepas yang melepas dan membebaskan Dr Jitweer Singh Ojagar Singh tanpa dipanggil membela diri.

Dr Jitweer, 57, menghadapi pertuduhan membunuh isterinya, Shento Kaur Jaswant Singh, 46, di rumah mereka di Bandar Country Homes, Rawang, antara 7 malam pada 22 Okt 2007 dan 10 pagi keesokannya.

Pakar patologi forensik yang melakukan bedah siasat berkata punca kematian mangsa berkemungkinan akibat kesukaran bernafas disebabkan tekanan di bahagian leher dengan benda lembut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Najib Zakaria berhujah bahawa tingkah laku Dr Jitweer paling luar biasa selepas kematian isterinya, tidak menampakkan tanda bersedih di atas kehilangan isterinya.

Katanya berdasarkan bukti, beliau tidak membuat sebarang persiapan untuk upacara pembakaran mayat isterinya dan tidak hadir ketika upacara berkenaan diadakan, di Krematorium Petaling Jaya.

Beliau berkata terdapat bukti perkahwinan Dr Jitweer dan isterinya bergolak, walaupun mereka tidak bercerai tetapi hanya berpisah.

Bagaimanapun, peguam Dr Jitweer, Karpal Singh berhujah hakim perbicaraan membuat keputusan yang betul dan memberi penilaian maksimum berdasarkan bukti yang dikemukakan kepadanya, dan terdapat banyak kelompangan dalam kes pendakwaan menyebabkan beliau (hakim) sukar untuk mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.

Beliau berkata hakim perbicaraan membuat rumusan yang betul bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes prima facie terhadap Dr Jitweer. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain