suria

Kenaikan Kadar Sewa PKNS: Abdul Khalid Jumpa Peniaga

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan mengadakan perbincangan dengan penyewa lot kedai di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini mengenai kadar baru sewa antara 30 hingga 100 peratus yang akan bermula Januari tahun depan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya juga akan membuat kajian perbandingan kadar sewa antara kompleks itu dengan pemilik bangunan lain di sekitar kawasan berkenaan.

"Saya sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS akan masuk campur dalam hal ini dan saya bercadang berjumpa penyewa untuk beri penerangan tentang perkara yang sesuai dan munasabah.

"Perkara ini perlu diteliti terlebih dulu dalam semua perkara sebelum tindakan lanjut diambil," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO kerajaan negeri di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kenaikan kenaikan kadar baru sewa lot kedai Kompleks PKNS di sini antara 30 hingga 100 peratus yang akan bermula Januari tahun depan.

Kebanyakan peniaga yang sudah berniaga berpuluh-puluh tahun di kompleks berkenaan turut mempertikaikan kenaikan kadar baru sewa dan berpendapat perkara berkenaan hanya akan membebankan mereka yang kebanyakannya Bumiputera.

Selain itu, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS) turut menyelar tindakan berkenaan kerana ia dilihat tidak wajar apatah lagi majoriti peniaga di kompleks itu adalah golongan Bumiputera.

Sebelum ini, sebuah laman blog, http://darulehsantoday.blogspot.com yang mendakwa tiga bangunan yang menjadi kebanggaan PKNS dan rakyat Selangor yang dibangunkan hasil pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini akan diambil alih oleh sebuah syarikat pelaburan amanah bermula Januari 2012.

Selain pengambilalihan itu, PKNS juga melalui satu surat bertarikh 12 September 2011 kepada penyewa Kompleks PKNS Shah Alam akan menaikkan kadar sewa premis di pusat komersial itu termasuk akan menamatkan sewaan kepada mana-mana peniaga yang kurang berdaya saing.

Berdasarkan surat itu, kadar baru sewa premis adalah antara RM4 hingga RM5.20 sekaki persegi bagi tingkat bawah berbanding ketika ini sebanyak RM2.50 hingga RM3.50 sekaki persegi.

Bagi tingkat satu, kadarnya ialah RM2.50 hinga RM3.50 sekaki persegi RM2 hingga RM2.20 sekaki persegi ketika ini,

Selain itu, kadar sewa kiosk turut dinaikkan kepada RM1,000 seunit berbanding RM500 seunit.

Ditanya sama ada kerajaan negeri akan menangguhkan kenaikan kadar sewa itu, Abdul Khalid berkata perbincangan mengenainya akan dibuat terlebih dulu.

"Sebab itu saya akan mengadakan pertemuan dengan penyewa dan buat kajian mengenai kadar sewa yang dikenakan oleh syarikat lain di bangunan sekitarnya," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain