suria

Kementerian Perumahan Laksana Enam Projek BDD

BEAUFORT: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah melaksanakan enam projek Merapatkan Jurang Digital (BDD) di seluruh negara yang berjaya mengurangkan jurang digital antara kumpulan miskin bandar dan kumpulan berkemampuan bandar.

Timbalan menterinya Datuk Seri Lajim Ukin berkata projek tersebut memberi peluang sama rata kepada kumpulan kurang berada dalam masyarakat untuk mengakses dan menggunakan maklumat serta pengetahuan melalui teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Beliau berkata bagi Sabah, projek BDD yang pertama dilaksanakan ialah di kawasan Weston pada tahun 2009.

"Projek BDD ini diyakini dapat meningkatkan penglibatan kumpulan miskin bandar dalam arus perdana proses pembangunan negara bagi merealisasikan Wawasan 2020," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Komuniti BDD Kampung Weston dekat sini, Rabu.

Lajim berkata sejumlah RM264,395 diperuntukkan bagi melaksanakan BDD Kampung Weston dengan pembelian perkakas ICT termasuk 20 unit komputer, dua alat pencetak, sebuah skaner dan sebuah projektor.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Beaufort berharap masyarakat di sekitar kampong Weston terutama golongan muda dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan tersebut bagi meningkatkan ilmu pengetahuan mereka. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain