suria

Gangguan Perkhidmatan KTM Intercity Sektor Selatan

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan KTM Intercity di sektor selatan mengalami gangguan disebabkan insiden kegelinciran di Stesen Genuang, Johor di KM596.75-KM597 pada Rabu.

Dalam satu kenyataan, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkata kerja membaikpulih landasan sedang dijalankan dan dijangka siap tengah malam ini.

Ia berkata insiden pukul 11.50 pagi itu melibatkan tren kargo membawa muatan simen yang dalam perjalanan dari Padang Rengas, Perak ke Pasir Gudang, Johor. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

KTMB berkata semua tren yang mengalami gangguan perkhidmatan dijangka perkhidmatannya lewat lebih dua jam.

Perkhidmatan yang mengalami gangguan ialah tren nombor 1 Ekspres Rakyat (Butterworth-Woodlands); tren nombor 12 Ekspres Sinaran Selatan (Woodlands-Sentral Kuala Lumpur); tren nombor 13 Ekspres Sinaran Selatan (Sentral Kuala Lumpur-Woodlands); tren nombor 15 Ekspres Sinaran Timuran (Tumpat-Woodlands); tren nombor 26 Ekspres Senandung Timuran (Woodlands-Tumpat); tren nombor 27 Ekspres Senandung Timuran (Tumpat-Woodlands); dan tren shuttle nombor 64 (Woodlands-Gemas).

Penumpang boleh meminta pemulangan tambang penuh untuk perkhidmatan yang dibatalkan atau menukar tarikh perjalanan.

KTMB Careline boleh dihubungi di talian 1-300-88-5852 untuk maklumat lanjut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain