suria

DHL Tinjau Kemungkinan Guna Proton EV

KUALA LUMPUR: Penyedia logistik global, DHL Express, meneroka kemungkinan menggunakan kenderaan elektrik (EV) Perusahaan Otomobil Nasional Bhd (Proton), yang bakal dilancarkan sebagai pengangkutannya di Malaysia.

Naib Presiden Pembangunan Perniagaan Asia Pasifik DHL Christopher Ong berkata syarikat telah memulakan rundingan dengan pembuat kereta nasional itu.

"Kami masih dalam perbincangan dengan mereka dan diharapkan kami akan dapat menguji salah satu kenderaan elektrik mereka ... mungkin awal tahun depan," kata beliau pada taklimat media di sini, Rabu.

Beliau berkata penggunaan EV Proton itu seiring dengan sasaran syarikat untuk meningkatkan kecekapan karbon sebanyak 30 peratus menjelang 2020.

Strategi itu termasuk memperkenalkan program GoGreen, program yang memberi tumpuan terhadap usaha meningkatkan kecekapan karbon DHL dan menyediakan perkhidmatan neutral karbon GoGreen, pengangkutan pengangkutan neutral karbon termasuk semua kepada pelanggan yang memberi penekanan tentang penghantaran neutral karbon, kata beliau.

Baru-baru ini, Proton mengumumkan bahawa syarikat menyasar untuk melancarkan EV kepada orang ramai pada 2013.

Ong berkata, kerajaan perlu mengambil kira dalam Bajet akan datang untuk memperkenalkan beberapa langkah termasuk mengenakan cukai karbon bagi menggalakkan orang ramai mengurangkan pengeluaran karbon mereka dan bekerjasama dengan industri untuk membangunkan kemudahan untuk kenderaan elektrik seperti stesen pengecas.

Langkah ini telah diambil di negara-negara barat ke arah mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil dan menggalakkan orang ramai untuk melabur dalam tenaga boleh diperbaharui.

Langkah itu akan mempercepatkan sasaran negara untuk mengurangkan 40 peratus pengeluaran karbon menjelang 2020, katanya.

Pengarah Urusan DHL Express (Malaysia) Sdn Bhd, David Ng juga mencadangkan agar kerajaan menyediakan insentif dalam bentuk pengurangan cukai kepada syarikat-syarikat yang melabur perbelanjaan modal mereka bagi mengurangkan pelepasan karbon.

Ini akan menggalakkan syarikat-syarikat lain untuk membuat pelaburan yang sama, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain