suria

Bahan Cetakan Al-Quran Ditemui Di Kawasan Perindustrian Mergong

ALOR SETAR: Dua guni yang mengandungi bahan cetakan ayat Al-Quran ditemui di kawasan Perindustrian Mergong 2 di sini dua hari lalu.

Bahan-bahan itu ditemui oleh seorang pengurus pemasaran sebuah kilang percetakan di situ, Abdul Basidh Abdul Wahab, 40, yang diletakkan di hadapan pintu pagar belakang kilang tersebut.

"Apabila saya membuka guni itu, terdapat cetakan surah Yassin, doa-doa dan panduan ibadat. Mungkin mereka salah cetak dan tidak ada tempat pelupusan, sebab itu mereka membuangnya di sini.

"Saya rasa mereka yang membuat kerja ini adalah syarikat percetakan juga. Mungkin mereka tak ada tempat pelupusan dan mereka membuangnya di sini kerana mahu lepas tangan," katanya.

Abdul Basidh juga berkata mengikut undang-undang, setiap kilang percetakan Al-Quran perlu mempunyai tempat pelupusan sebelum diberi lesen.

Beliau berkata beliau telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, Pejabat Agama Islam dan Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran Kementerian Dalam Negeri.

Beliau berkata pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah datang mengambil sampel cetakan tersebut kira-kira pukul 10 pagi tadi dan akan mengambil keseluruhan cetakan itu Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Adzaman Mohd Jan mengesahkan menerima laporan mengenai perkara tersebut dan siasatan akan dijalankan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain