suria

Australia Mahu Tarik Lebih Ramai Pelajar Malaysia

KUALA LUMPUR: Australia mahu menarik lebih ramai pelajar Malaysia di bawah inisiatif baru yang dinamakan "Future Unlimited" bagi mengekalkan kedudukannya antara destinasi pilihan pengajian antarabangsa.

Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Miles Kupa berkata inisiatif berkenaan akan memfokus semula perhatian tentang faedah memperolehi kelayakan pengajian Australia yang boleh membuka peluang kerjaya global kepada pelajar antarabangsa.

Beliau memberitahu media di sini hari ini Australia memiliki banyak institusi pengajian bagi pelajar asing untuk memilihnya termasuk yang tersenarai dalam 500 universiti terbaik dunia.

"Trend semasa menunjukkan lebih ramai memilih Australia untuk ijazah lanjutan dan jumlah mereka bertambah berikutan banyak peluang tersedia dalam bidang seperti kajian," katanya dan menambah Malaysia dan Australia menikmati hubungan pendidikan yang panjang.

Kupa berkata ramai rakyat Malaysia memilih untuk melanjutkan pelajaran di Australia kerana ia berhampiran dengan negara Asia Tenggara, mereka menyukai gaya hidup masyarakat Australia dan dalam banyak kes, ibu bapa mereka turut pernah belajar di Australia.

Kira-kira 30 institusi akan mengambil bahagian dalam pameran pendidikan Australia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 15 hingga 16 Okt ini yang akan memberi peluang kepada pelajar dan ibu bapa mereka mendapat maklumat mengenai pendidikan Australia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain