suria

Shafie Apdal Tempelak 'Demokrasi' Pembangkang Tentang Arahan Tutup Mulut Di Kalangan Pemimpinnya

KUANTAN: Larangan pakatan pembangkang kepada semua pemimpinnya daripada mengeluarkan kenyataan berhubung perbalahan mereka dalam isu pelaksanaan hukum hudud, jelas bertentangan dengan kebebasan bersuara dan demokrasi yang dilaung-laungkan mereka selama ini, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

"Inikah demokrasi yang diperjuangkan mereka? Semua mesti tutup mulut?" kata beliau ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali semalam agar pemimpin pakatan pembangkang mengunci mulut berhubung isu itu dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga satu pendirian rasmi dibuat pada mesyuarat khas, Rabu.

Perbalahan antara pembangkang timbul apabila Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am Pas dilaporkan berkata hukum hudud akan tetap dilaksanakan di negeri itu tetapi ini dibantah keras oleh Pengerusi DAP Karpal Singh.

Shafie berkata pakatan pembangkang terdiri DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat sentiasa berkata mereka memperjuangkan demokrasi dan kebebasan bersuara, namun mereka sendiri sebenarnya menyekat hak untuk bersuara bagi anggota mereka.

"Sistem demokratik apakah ini? Mereka sebelum ini begitu lantang di Parlimen kononnya memperjuangankan kebebasan bersuara, tetapi hakikatnya mereka tidak boleh duduk semeja pun untuk membincangkan isu berkenaan," katanya.

Shafie berkata rakyat Malaysia seharusnya sedar bahawa pakatan pembangkang tidak akan mampu membawa apa-apa perubahan dan kemakmuran di negara ini.

"Dalam isu ini pun mereka gagal mencari kata putus dan sering bertelagah," katanya.

Shafie, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, ketika ditemui pada jamuan Aidilfitri Mara di sini, berkata Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang mengambil langkah-langkah perlu bagi memastikan bangunan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Bentong, selamat digunakan kembali.

"Apa yang penting ialah keselamatan anak-anak (pelajar-pelajar maktab berkenaan) sebelum (maktab itu dapat) digunakan semula," katanya ketika ditanya status maktab berkenaan selepas ditutup sejak setahun lepas bagi membolehkan kerja membaiki cerun bukit yang runtuh berhampiran sekolah itu dijalankan.

Semua pelajar terbabit dipindahkan sementara ke MRSM Pekan.

Ketika berucap pada majlis berkenaan, Shafie berkata sejak empat dekad lepas, Mara telah berjaya melahirkan pelajar yang berpengetahuan luas dan berdaya saing di peringkat tempatan dan antarabangsa. - BERNAMA

Artikel Lain