suria

Polis Temui Semula Wang Dikatakan Disamun Pagawai SPRM

KUALA LUMPUR: Polis menemui semula wang tunai yang dikatakan disamun tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dekat sini pada 15 September lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar bagaimanapun enggan menyatakan jumlah sebenar wang tunai itu, yang ditemui baru-baru ini.

Proses siasatan berjalan lancar dan banyak perkara yang perlu diselesaikan termasuk menjejaki dua lelaki yang dipercayai turut terlibat dalam kes itu, katanya selepas menghadiri sambutan Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Selasa.

Beliau juga berkata tempoh tahanan reman tiga pegawai SPRM itu, yang berakhir semalam, dilanjutkan tiga hari mulai hari ini.

Tiga pegawai itu, yang bertugas di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, ditahan kerana disyaki menyamun seorang pengurup wang rakyat asing membabitkan wang berjumlah kira-kira RM900,000.

Mereka terdiri daripada seorang Pemangku Penolong Pesuruhjaya, seorang Penolong Kanan Penguasa, dan seorang Penolong Penguasa.

SPRM dalam satu kenyataan baru-baru ini menyebut tiga pegawai yang dikatakan terbabit dalam kes samun itu sudah dilucut daripada sebarang tugas sementara menunggu hasil siasatan polis. Sementara itu, ketika ditanya mengenai dua beradik disyaki terlibat dalam kejadian letupan bom di pekan Sungai Golok yang dikatakan berada di negara ini, Ismail berkata polis sedang memburu mereka yang masing-masing berumur 26 dan 27 tahun itu. "Kita memang menjalinkan kerjasama dengan polis sana (Thailand) dan kita menjaga kepentingan bersama dalam menyelesaikan perkara ini," katanya.

Kejadian letupan bom pada 16 September lepas di pekan bersempadan dengan Malaysia itu menyebabkan empat rakyat Malaysia terbunuh dan 19 lagi cedera. - BERNAMA

Artikel Lain