suria

Pendekatan Terperinci Dalam Memilih Calon MCA Untuk PRU-13 - Dr Chua

KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata beliau menggunakan pendekatan terperinci dalam memilih calon-calon yang boleh menang untuk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Beliau berkata MCA akan memastikan calon-calonnya untuk kedua-dua kerusi parlimen dan negeri bukan hanya boleh membantu BN menang tetapi juga menolong parti itu memperoleh sokongan berterusan daripada orang ramai.

"Saya perlu terperinci mengenainya, tanpa mengira sama ada mereka penyokong saya atau tidak," katanya semasa ditemubual oleh beberapa pertubuhan media di sini pada Selasa.

Dr Chua berkata mereka yang telah berkhidmat banyak penggal hendaklah mempertimbangkan untuk memberi laluan kepada pemimpin lebih muda kerana parti itu tidak dilihat sebagai sebuah "produk kitar semula".

"Jika seseorang itu adalah calon yang boleh menang, beliau boleh meneruskan tetapi orang itu hendaklah menggunakan kebijaksanaan politiknya (bila) untuk mengundurkan diri," kata beliau.

Presiden MCA itu berkata sesetengah pemimpin mahu terus memegang jawatan dan minta untuk dicalonkan semula bertanding pada pilihan raya umum akan datang, tetapi jumlahnya adalah kecil.

"Ada juga sesetengah wakil rakyat yang telah memberitahu saya mereka tidak mahu berkhidmat atau bertanding lagi," katanya dengan memberikan contoh, pengerusi MCA Kedah Datuk Chong Itt Chew, Tan Kok Hong (anggota exco Johor), bekas presiden MCA Tan Sri Ong Ka Ting (anggota Parlimen Kulai) dan Teng Boon Soon (kini anggota parlimen Tebrau).

Dr Chua berkata MCA menjalankan kajian di 10 kawasan pilihan raya baru-baru ini untuk menentukan faktor yang akan mengalih keputusan pengundi, dalam memilih calon.

Maklum balas daripada kajian itu menunjukkan bahawa faktor calon akan memainkan peranan utama berkaitan pengundi.

"Akhirnya sama ada calon itu boleh memberikan khidmat, mesra orang ramai atau tidak, dan sama ada seseorang itu sebenarnya boleh memberikan khidmat kepada rakyat. Ini penting," kata beliau sambil menambah tahap sokongan untuk seseorang calon itu juga penting.

Dr Chua berkata kajian itu juga tidak menunjukkan bahawa hanya calon dari bahagian di kawasan pilihan raya yang sama akan menang.

Beliau berkata menghantar pemimpin untuk bertanding di kawasan pilihan raya yang berlainan bukan sesuatu yang baru bagi MCA.

Semasa temubual itu, beliau mengulangi bahawa jika keputusan MCA sangat teruk pada pilihan raya umum akan datang, parti itu tidak akan menerima pelbagai jawatan awam, seperti dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sehinggalah anggota Dewan Negara dan menteri.

"Kita telah membuat keputusan ini selepas banyak rundingan. Ia bukan bermakna untuk mengugut masyarakat Cina tetapi lebih ke arah menghormati keputusan ramai. Jika kita tidak dapat sokongan daripada orang ramai, kita tidak sah," kata beliau.

Beliau berkata keputusan itu akan merangsang untuk aktif bagi anggota parti yang akan menghadapi musuh bersama.

"Sehubungan itu, mereka hendaklah bersatu dan tidak cuba mensabotaj parti. Jika ini berlaku, ia bukan hanya menjejaskan partinya sendiri tetapi juga kedudukan mereka," tambah beliau. - BERNAMA

Artikel Lain