suria

Pemuda BN Buat Laporan SPRM Berhubung Perjanjian Projek SPICE

GEORGE TOWN: Pemuda Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang pada Selasa membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)bagi menyiasat perjanjian projek Pusat Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang (SPICE) di Relau yang didakwa merugikan rakyat.

Pengerusinya Oh Tong Keong berkata rakyat negeri ini berhak mengetahui maklumat tepat berhubung perjanjian itu yang didakwa hanya menguntungkan pihak pemaju.

"Jika benar terdapat skandal dalam perjanjian berkenaan, ia wajar dihentikan supaya tidak berlaku penyelewengan wang rakyat," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan laporan itu kepada SPRM di sini pada Selasa.

Oh berkata Pemuda BN telah memulakan kempen mengumpul tandatangan daripada orang ramai bagi membantah perjanjian pembinaan projek itu.

Laporan akhbar pada Selasa melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Kerja BN Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan meminta SPRM menyiasat pembinaan SPICE di tapak Pusat Arena Antarabangsa Pulau Pinang (PISA) yang didakwa hanya memberi kelebihan dan keistimewaan kepada pemaju iaitu, Eco Meridian Sdn Bhd.

SPICE yang menelan kos sebanyak RM300 juta akan dibina di atas tapak PISA termasuk membaik pulih dan menaik taraf PISA serta Pusat Akuatik. - BERNAMA

Artikel Lain