PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak malam Isnin berkata cabaran bagi golongan pemimpin muda adalah untuk mengembangkan daya kreativiti, kemahiran dan inovasi yang menjangkau bidang keusahawanan dan perniagaan mereka.Perdana Menteri berkata golongan muda yang bakal menjadi pemimpin masa depan perlu melihat kaedah kreatif secara serius untuk menyatupadukan rakyat pelbagai kaum dan agama serta mewujudkan persekitaran ekonomi dan sosial yang positif bagi rakyat mencapai kesejahteraan. "Dalam erti kata lain, saya mahu anda semua berusaha dalam membentuk masa depan yang lebih baik untuk Malaysia dan diri anda," katanya pada majlis Anugerah Usahawan Muda Kreatif 2011 (JCI CYEA) anjuran Junior Chamber International Malaysia (JCIM) di sini.Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.Najib berkata sikap kreativiti adalah penting bagi seseorang sekiranya mahu bersaing dan berjaya di pasaran antarabangsa."Kreativiti memberi anda lebih kelebihan dengan pesaing sama ada ianya kreativi dari segi reka bentuk, pembuatan, pembungkusan, perkhidmatan, pemasaran atau pengedaran," katanya.Tiga pemenang anugerah tersebut tahun ini ialah Pengarah Urusan Global Green Synergy Sdn Bhd, Joseph Lim Heng Ee, Ketua Pegawai Eksekutif Kian Classic design Sdn Bhd, Kenny Yap Kian Wee dan Datuk Tony Looi Chee Hong, iaitu Pengarah Urusan/Pengerusi Ban Lee Hin Engineering and Construction Sdn Bhd.Joseph Lim dipilih untuk mewakili negara pada Anugerah JCI CYEA Dunia 2011 di Belgium, November ini.Anugerah JCI CYEA, yang diperkenalkan pada 2005, diiktiraf di peringkat antarabangsa bagi menghargai, menghormati dan mengakui usahawan muda berbakat yang menggunakan imaginasi dan kreativiti mereka untuk mencapai kejayaan dalam dunia perniagaan. - BERNAMA