suria

Langkah Afirmatif Bantu Bumiputera Haruslah Berasaskan Merit - PM

KUALA LUMPUR: Sebarang langkah-langkah afirmatif yang diambil oleh kerajaan untuk membantu kaum Bumiputera haruslah berasaskan meritokrasi bagi memastikan mereka yang benar-benar layak sahaja yang memperolehi manfaat daripadanya, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, salah satu daripada kritikan semasa yang diperolehinya tentang hal ini ialah mereka yang benar-benar berhak untuk memperolehi bantuan di bawah langkah-langkah afirmatif pada masa lalu tidak mendapat nikmati daripadanya.

“Misalnya dalam soal kuota, apa yang akan terjadi ialah kecenderungan untuk bersikap sambil lewa dan akhirnya mereka yang memperolehi sesuatu hasil daripada pemberian kuota tidak akan mendapat kemahiran dan kecekapan mengurus sepertimana sepatutnya,” katanya dalam sesi dialog pada majlis penutup Forum Megatrends Khazanah 2011 pada Selasa.

Najib menegaskan, membantu menaikkan individu yang betul dan berkelayakan yang akan menjadikan mereka insan yang lebih berjaya adalah jauh lebih penting.

“Jadi sekiranya kita membantu membangun dan menaikkan individu Bumiputera yang betul, mereka akan berjaya dan bukan Bumiputera tidak akan irihati dan membuat bising,” ujar Najib lagi.

Bagaimanapun Najib mengingatkan bahawa sebarang langkah untuk membantu kaum Bumiputera mestilah dalam bentuk yang membolehkan mereka mengembang dari pemain kecil-kecilan kepada usahawan yang lebih besar dan berjaya.

Dalam konteks ini Perdana Menteri berpendapat, langkah memberikan Bumiputera 30% kuota saham adalah satu langkah yang tidak efektif kerana mereka hanya akan berakhir sebagai pemegang saham minoriti sahaja.

Ini kerana kecenderungan mereka ialah untuk menjual bahagian mereka kerana hendak membayar semula pinjaman bank yang mereka ambil untuk membeli saham berkenaan.

“Apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan sekarang ialah mengenalpasti usahawan Bumiputera yang cemerlang, yang telah teruji dan dedikasi dan membantunya menjadi seorang yang lebih besar dan berjaya.

“Kita boleh membantu mereka menjadi lebih berdaya saing dan ini adalah sebahagian daripada inisiatif yang telah kerajaan kenalpasti untuk masa depan,” ujar Najib.

Artikel Lain