suria

Kunjungan Lebih Kerap Dalam Industri Pertahanan Asean Dapat Perkukuh Hubungan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan mencadangkan kunjungan lebih kerap dalam industri pertahanan Asean diadakan bagi memperkukuhkan lagi kerjasama serantau selain mewujudkan landasan diplomasi ketenteraan. Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kunjungan lebih kerap akan mewujudkan rasa kekitaan selain dapat merungkai dan menyelesaikan sebarang masalah sekiranya ada, tanpa perlu dibawa ke meja perundingan secara formal.

"Biarpun secara prinsipnya adalah untuk mempertahankan negara masing-masing jika ada permasalahan dalam aspek ketenteraan, namun dengan hubungan baik yang sentiasa digilap dan juga atas rasa tanggungjawab, banyak perkara boleh diselesaikan dengan baik," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Panglima Tentera Darat Singapura Mejar Jeneral Ravinder Singh Harchand Singh di pejabatnya di Wisma Pertahanan, pada Selasa. Turut hadir Komander 3 Divisyen Singapura Brigadier Jeneral Perry Lim. Sambil menyifatkan hubungan dua hala antara Malaysia-Singapura pada masa ini sebagai amat baik, Ahmad Zahid berkata lawatan seperti itu dapat mengukuhkan lagi persefahaman bersama dan kesetiakawanan antara anggota tentera kedua-dua negara. Beliau turut mencadangkan agar pertukaran kunjungan dilakukan bukan hanya di kalangan pegawai tertinggi tentera tetapi juga antara pegawai berpangkat Kolonel ke bawah bagi mewujudkan hubungan informal dan mewujudkan keakraban lebih awal di kalangan pegawai tentera di antara kedua-dua negara.

Ahmad Zahid berkata sejak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih kepimpinan negara, hubungan dua hala Singapura dan Malaysia terutama dalam ketenteraan telah mencapai ke satu tahap yang lebih membanggakan.

Beliau berkata hubungan diplomasi dan kesefahaman perlu sentiasa dipelihara supaya sebarang konflik dapat dielakkan selain menjauhkan perasaan syak wasangka terhadap negara berjiran serta negara Asean lain biarpun tiada sebarang perjanjian ketenteraan dilakukan.

"Daripada segi prinsip, kita tetap menjaga kedaulatan negara masing-masing tetapi KPI (Petunjuk Prestasi Utama) kita tidak akan diukur kepada berapa banyak peperangan yang akan dimenangi tetapi berapa banyak peperangan atau perselisihan yang dapat dielakkan... ini menjadi pendekatan dan keutamaan kepada kita," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata Singapura telah mengesahkan kehadiran untuk menyertai Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (Lima 2011) mulai 3 hingga 12 Disember depan dan akan mempamerkan aset-aset serta peralatan keluaran industri pertahanan Singapura.

Beliau berkata pada 1 November, pemimpin-pemimpin Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) termasuk Malaysia akan menyambut perayaan 40 tahun FPDA di Singapura dan pada hari kedua akan berada di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Butterworth sebelum meneruskan lawatan ke Kuala Lumpur. - BERNAMA

Artikel Lain