suria

Khir Toyo Nafi Dirinya Berpengaruh

SHAH ALAM: Meskipun pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo tidak pernah merasakan dirinya sebagai individu yang sangat berpengaruh dan dihormati di Selangor.

Beliau juga memberitahu tugasnya sebagai ketua pentadbiran di Selangor tidak bermaksud beliau terlibat sepenuhnya dalam menggubal polisi kerajaan negeri kerana ia turut melibatkan beberapa pihak lain.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamad juga menafikan dirinya mempunyai hubungan rasmi dengan kontraktor yang menjalankan perniagaan di Selangor, sebaliknya telah menjadi amalan untuk dirinya memberi surat sokongan kepada semua surat permohonan yang diterima.

"Saya beri sokongan pada semua. Tidak ada unsur pilih kasih," katanya di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.

Keterangan sebelum ini menyatakan Mohamad Khir ada memberikan sokongan terhadap permohonan Pengarah Syarikat Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni berhubungan projek pembangunan di Bangi, dekat sini dan permohonan dilepaskan daripada bon pelaksanaan yang dikenakan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Mohamad Khir, 46, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang juga memberitahu, semua surat sokongan yang diterimanya akan dibalas dengan serta-merta kerana beliau tidak mengamalkan budaya menangguhkan kerja.

Selain itu, Mohamad Khir juga menafikan bahawa kedudukannya sebagai Menteri Besar boleh mempengaruhi jurunilai profesional daripada syarikat Rahim & Co untuk menilai harga pasaran sebuah banglo dan dua lot tanah di Seksyen 7, di sini sebanyak RM3.5 juta, yang didakwa lebih rendah daripada nilai sebenar pasaran.

"Tidak mungkin perkara itu berlaku kerana Rahim & Co dilantik oleh pihak Bank HSBC. Jika saya yang melantik, mungkin akan ada ketidakadilan," katanya dan menambah perihal pelantikan jurunilai turut dipersetujui oleh Shamsuddin.

Ahli politik itu seterusnya menegaskan bahawa kenyataannya bahawa pereka laman, Nasir Ismail telah mengambil beberapa perabot dari banglo tersebut adalah perkara yang benar ekoran tindakannya tidak menjelaskan baki upah mengubahsuai rumah sebanyak RM200,000.

Tambahnya, kehilangan perabot seperti katil, permaidani dan tilam disedari pada tahun 2009, namun beliau membuat keputusan untuk mendiamkan sahaja perkara tersebut termasuk tidak membuat laporan polis.

"Saya tidak mahu membesar-besarkan perkara ini yang akan memalukan nama saya sebagai seorang Menteri Besar," tambahnya.

Perbicaraan pada Selasa, juga menyaksikan barisan pembelaan yang diketuai oleh peguam M.Athimulan memanggil bekas pembantu khas Mohamad Khir, Hasnah Abu Hassan, 59, sebagai saksi pembelaan kedua.

Berdasarkan pengalamannya selama lapan tahun di pejabat Menteri Besar Selangor, Hasnah memberitahu pejabat tersebut menerima beratus-ratus surat sokongan setiap hari daripada pelbagai pihak.

Semua surat tersebut akan direkodkan di kaunter kerani sebelum diserahkan kepada saksi, yang akan membuka surat-surat yang dikategorikan sebagai sulit dan persendirian manakala surat-surat biasa diuruskan oleh kerani penerima surat.

Ketika disoal berhubung Shamsuddin, Hasnah yang telah bersara pada 1 Januari 2010 memberitahu, dia pernah melihat kontraktor tersebut bertemu Mohamad Khir di pejabat selepas membuat temujanji.

"Mohamad Khir tidak pernah bersikap pilih kasih kerana beliau tidak pernah beritahu siapa kawan baiknya. Saya juga sebagai seorang penjawat awam tidak boleh bersifat begitu kerana semua yang hadir adalah pelanggan jabatan," tambah Hasnah.

Mohamad Khir sedang membela diri atas tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 46, sebuah banglo dan dua lot tanag di No. 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 pada harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada harga RM6.5 juta pada 23 Disember 2004.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Beliau yang merupakan doktor pergigian sebelum menyertai dunia politik didakwa melakukan kesalahan di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di sini pada 29 Mei 2007.

Bagi kesalahan itu, beliau kini berhadapan dengan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan seperti yang diperuntukkan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki bersambung 31 Oktober depan.

Artikel Lain