suria

Khir: RM3.5 Juta Adalah Harga Yang Dinilai Jurunilai Profesional

SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, tindakan beliau membayar RM3.5 juta dalam pembelian sebuah banglo dan dua lot tanah di Seksyen 7, di sini adalah perkara terbaik yang dilakukannya mengikut apa yang telah ditetapkan oleh jurunilai profesional.

Mohamad Khir, 46, menambah, beliau bergantung sepenuhnya kepada nilai yang ditentukan oleh jurunilai yang dilantik oleh pihak Bank HSBC dan beranggapan harga itu adalah harga yang adil untuk hartanah tersebut memandangkan beliau tidak mempunyai pengetahuan mengenai pasaran hartanah.

"Saya rasakan apa yang dilakukan adalah yang terbaik dan betul. Oleh itu, saya tidak tahu mengapa saya dituduh di mahkamah," katanya dan menambah, pembelian itu juga tidak akan berlaku jika harga tersebut tidak dipersetujui oleh Pengarah Syarikat Ditamas Sdn Bhd, Datuk Shamsuddin Hayroni selaku penjual.

Pada keterangannya, Mohamad Khir juga mendakwa Shamsuddin dan pereka laman bebas, Nasir Ismail yang dilantik untuk melakukan kerja-kerja pengubahsuaian di rumah tersebut mempunyai sebab untuk memberi keterangan yang boleh menjejaskan kedudukan beliau di mahkamah.

Katanya, Shamsuddin pernah dihadapkan ke mahkamah (pada 6 Disember 2010 atas tuduhan bersubahat dengan Mohamad Khir) dan dibebaskan pada 6 Jun lalu sebelum dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi kepada pihak pendakwaan.

Nasir pula dakwa ahli politik tersebut, mempunyai niat untuk memalukan dirinya kerana mereka pernah bergaduh besar apabila beliau tidak mahu menjelaskan baki bayaran sebanyak RM200,000 untuk kerja-kerja pengubahsuaian rumah tersebut.

"Nasir ada berjumpa dengan saya sebanyak tiga atau empat kali, tatapi saya tetap bertegas tidak mahu membayar kerana kerja yang dilakukan tidak mengikut spesifikasi," katanya semasa menjawab soalan peguam, M. Athimulan.

Mohamad Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang juga menyifatkan pergaduhan antara beliau dan Nasir adalah perkara serius sehingga ke peringkat di mana Nasir mengambil barang-barang yang telah dibeli sebagai persiapan mengubahsuai rumah itu.

Antara barangan yang diambil ialah permaidani, katil, tilam dan bantal menyebabkan Mohamad Khir terpaksa menukar pintu pagar kepada pintu pagar jenis automatik bagi menghalang Nasir daripada terus berbuat demikian.

Seterusnya Mohamad Khir menafikan bahawa beliau mempunyai tugasan rasmi dengan Shamsuddin semasa menjawat jawatan sebagai Menteri Besar pada antara tahun 2002 sehingga Mac 2008.

Shamsuddin yang merupakan seorang ahli perniagaan pada keterangannya berkata, beliau banyak menjalankan projek-projek perumahan yang dikendalikan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

"Saya hanyak beri sokongan biasa kepada semua pemaju dan ahli perniagaan di Selangor. Ini merupakan amalan biasa di negara kita. Peniaga dan pemaju akan mendapatkan sokongan daripada pemimpin, setiausaha kerajaan negeri, pegawai-pegawai kewangan dan ketua-ketua jabatan," tambahnya.

Mohamad Khir sedang membela diri atas tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 46, sebuah banglo dan dua lot tanah di No. 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 pada harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas menerusi Shamsuddin pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor pada 29 Mei 2007 dalam keadaan beliau mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya ketika itu.

Mohamad Khir didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki bersambung petang ini.

Artikel Lain