suria

Kerani Lepas Tuduhan Rompak Warga Indonesia

KUALA LUMPUR: Seorang kerani pada Isnin dilepaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah merompak seorang warga Indonesia, dua tahun lepas.

Hakim Zulhazmi Abdullah membuat keputusan itu terhadap Ahmad Kamarul Nizham Wan Abdul Hamid mengikut Seksyen 294 Kanun Acara Jenayah dengan cagaran RM2,000 bersama seorang penjamin selama dua tahun.

Ahmad Kamarul Nizham, 26, bersama Akmal Mohamad, 22, didakwa merompak sebuah komputer riba jenama Acer bernilai RM2,500 milik Saidah Koto Yulianis dengan menggunakan parang.

Tertuduh yang berasal dari Kota Baharu, Kelantan, didakwa melakukan perbuatan itu di Kedai Runcit Arab, Batu 5, Jalan Gombak, Setapak, Sentul di sini kira-kira 11 malam pada 11 April, 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan serta boleh dihukum mengikut seksyen dan kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan.

Tertuduh diwakili peguam Hasnan Hamzah manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurmadiana Mamat.

Sebelum ini, Akmal Mohamad dikenakan hukuman penjara 36 bulan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu pada 21 September tahun lepas. -BERNAMA

Artikel Lain