suria

Had Umur Minima Persaraan Baru Sektor Swasta: Kerajaan Telah Bersetuju Pada Dasar

PETALING JAYA: Kerajaan pada dasarnya telah bersetuju menetapkan had umur minima persaraan yang baru untuk sektor swasta, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam.

Bagaimanapun katanya, berapakah had umur minimum itu masih belum lagi ditentukan walaupun Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) telah terlebih dahulu mengumumkan semalam bahawa ia adalah pada umur 60 tahun.

Buat masa ini umur minimum persaraan bagi sektor swasta ialah 55 tahun.

“Sebenarnya kita belum putuskan lagi kerana perbincangan dengan wakil-wakil pekerja serta majikan masih diteruskan,” ujar beliau Dr Subramaniam kepada para pemberita, Selasa.

Beliau bagaimanapun bersetuju dengan MTUC dan juga Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) bahawa had umur minima persaraan bagi sektor swasta perlu dinaikkan kerana statistik terkini menunjukkan jangka hayat manusia di negara ini telah bertambah antara 20 hingga 30 tahun lagi berbanding dahulu.

Buat masa ini, jangka hayat rakyat Malaysia telah meningkat kepada 73 tahun untuk lelaki dan 76 tahun untuk wanita.

Dr Subramaniam menambah, kerajaan akan menimbang semua pandangan terlebih dahulu sebelum memutuskan berapakah umur yang paling sesuai untuk dijadikan had umur minima persaraan yang baru.

Jika segala-galanya berjalan lancar, rang undang-undang baru mengenai had umur minima persaraan akan dapat dibentangkan pada sesi parlimen akan datang.

Rang undang-undang ini memberi kuasa kepada menteri untuk menetapkan had umur minima persaraan bagi sektor swasta.

“Apa yang penting ialah untuk memutuskan had umur minima yang baru selepas jawatankuasa teknikal mengenai isu ini selesai merangka rang undang-undang baru ini,” kata Dr Subramaniam.

Beliau menjelaskan, oleh kerana jangka hayat telah meningkat, manusia perlu bekerja lebih lama untuk menampung keperluan mereka malah kemiskinan selepas tempoh bersara kini telah menjadi satu isu yang perlu diatasi.

“Ini kerana pada usia 55 tahun, manusia masih dianggap muda dan masih boleh bekerja dengan baik,” katanya.

Dr Subramaniam juga berkata, kajian kini mendapati, simpanan dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanya sekadar cukup untuk menyaksikan seseorang pesara itu menempuh lima tahun pertama selepas persaraan sahaja malah mereka yang berpendapatan rendah mungkin hanya dua tahun.

Selepas itu katanya mereka perlu kembali bekerja semula untuk menampung kos kehidupan yang semakin tinggi.

MEF, MTUC dan KWSP cenderung untuk menetapkan had umur minima persaraan yang baru kepada 60 tahun.

Artikel Lain