suria

Banduan Penjara Penor Sebak Sertai Program Kacau Dodol Aidilfitri

KUANTAN: Seramai 36 banduan yang terpilih diberikan peluang untuk menyertai program mengacau dodol anjuran Pelan Pembangunan Insan (PPI), Unit Pemulihan Penjara Penor di sini.

Rata-rata banduan itu sebak kerana terpilih menyertai program itu untuk sama-sama merasai kegembiran sambutan Aidilfitri.

Sebanyak lapan kawah dodol itu kemudiannya diagih-agihkan kepada 2,000 banduan serta para petugas Penjara Penor.

Menurut Pengarah Penjara Penor, Penolong Komisioner Abu Hasan Hussain, program sedemikian bertujuan memberi peluang kepada banduan yang terpilih dan cemerlang dalam proses pemulihan untuk sama-sama merasaikan kegembiraan sambutan Aidilfitri.

"Tujuan program ini ialah agar mereka (banduan) sama-sama memeriahkan sambutan Aidilfitri bersama petugas penjara, mengacau dodol dan kemudiannya mengagihkan kepada rakan-rakan banduan yang lain," katanya kepada pemberita di sini, pada Selasa.

Sementara itu seorang banduan yang ditemui berkata dia amat gembira kerana dipilih untuk menyertai program berkenaan.

"Menyertai program mengacau dodol di penjara, sedikit sebanyak dapat merasai suasana hari raya," katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Ali, 27.

Ali yang berasal dari Panching, dekat sini, dihukum penjara selama 10 tahun dengan 10 sebatan dan telah menyambut hari raya di penjara sejak tiga tahun lepas.

"Acara mengacau dodol amat mengharukan, ia amat mengingatkan saya kepada keluarga," katanya sebak.

"Bagi saya, ini adalah tahun ketiga saya menyertai program seperti ini, tapi kali ini ia lebih menarik dan menyentuh hati apabila kami diberi peluang mengacau dodol dan membakar lemang yang menjadi juadah penting Hari Raya Aidilfitri," katanya.

Seorang lagi banduan yang hanya mahu dikenali sebagai Osman, 39, berkata dia tidak pernah mengacau dodol sebelum ini dan peluang yang diberikan kepadanya pada Selasa amat menyentuh hati.

"Program ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama kami (banduan), kalau di luar, saya tidak pernah mengacau dodol, di sini saya dapat merasa pengalaman mengacau dodol dan membakar lemang," katanya.

Dia dikenakan hukuman penjara selama 15 tahun sejak 2003 dengan 15 sebatan, telah sembilan tahun beraya di penjara.

Kedua-dua banduan terbabit dimasukkan ke Penjara Penor atas kesalahan penyalahgunaan dadah mengikut Seksyen 39 A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Lain