suria

PM Sertai 5,000 Pelajar Lakukan Kayuhan Amal 1Malaysia

GEORGETOWN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad menyertai kira-kira 5,000 pelajar sekolah mengayuh basikal sejauh tujuh kilometer dalam program Kayuhan Amal 1Malaysia Untuk Pelajaran di Straits Quay, Tanjong Tokong di sini.

Najib yang tiba di tempat permulaan di sini pada 7.25 pagi, disambut oleh kira-kira 20,000 pelajar sekolah serta Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Zainal Abidin Osman.

Perdana Menteri ketika berucap melancarkan program berkenaan berkata program itu mengingatkan beliau yang telah lebih 50 tahun tidak mengayuh basikal, yang kali terakhir semasa zaman kanak-kanak beliau mengayuh basikal dari rumahnya di Sri Taman, Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur untuk membeli nasi lemak Tang Ling berdekatan Masjid Negara.

Beliau berkata beliau sanggup berlatih mengayuh basikal dari lobi hotel ke bilik penginapannya sebagai persiapan semalam sebelum menyertai program ini.

"Malam tadi ketika saya mengayuh basikal di hotel saya, sesetengah kakitangan hotel fikir saya tidak siuman untuk berbasikal di sekeliling koridor menuju ke bilik saya.

"Saya terfikir jika saya boleh berbasikal di hotel saya, saya boleh berkayuh tujuh kilometer pagi ini," katanya di hadapan puluhan ribu pelajar, guru dan pemimpin sekolah di sini Ahad.

Katanya program ini amat bermakna kepada dirinya kerana ia selari dengan simbol gagasan 1Malaysia yang diasaskannya tanpa mengira latar belakang, bangsa atau agama.

"Saya berbangga dapat mengambil bahagian dalam Kayuhan Amal 1Malaysia untuk Pelajaran bersama-sama kanak-kanak dan keluarga Pulau Pinang," kata Najib.

Beliau turut memuji program itu sebagai satu usaha baik untuk mengumpul dana sejumlah RM15 juta bagi membangunkan 15 Sekolah Menengah Cina termasuk lima Sekolah Menengah persendirian Cina.

"Ia adalah kayuhan yang bernilai dan jika penyertaan saya dalam program untuk tujuh kilometer boleh menarik RM15 juta, saya tidak kisah untuk mengayuh lebih kilometer untuk mendapatkan RM2 juta bagi amal," kata beliau.

Program anjuran Kwang Wah Yit Poh itu turut disertai oleh Koh, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen yang juga Naib Presiden MCA, Lim, Pengerusi Kwang Wah Yit Poh Datuk Ong Gim Huat dan barisan Exco negeri. Sementara itu, Koh yang juga pengerusi Barisan Nasional negeri, terlibat dalam satu kemalangan kecil yang berlaku di hadapan Pantai Molek di sini ketika mengiringi Najib mengayuh basikal.

Koh ketika ditemui pemberita berkata, dalam kejadian itu beliau terbabas sendiri selepas gagal mengelak dua remaja yang cuba memotong dari arah sisinya.

"Kejadian itu berlaku secara tiba-tiba dan saya tidak sempat menekan brek basikal," katanya yang kelihatan berjalan terhencut-hencut namun tidak mengalami sebarang kecederaan serius meskipun berasa sakit di bahagian lutut kiri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

15 Sekolah Cina Terima RM15 Juta

Artikel Lain