suria

Gambit Usah Musnahkan Diri Sendiri

SAYA sebenarnya malas nak sentuh mengenai Gambit lagi. Bukan apa, sebenarnya ini bukan pertama kali saya menegurnya.

Bermula kes dia yang dikatakan tak ada PR iaitu tak pandai nak berkomunikasi dengan orang, saya tegur pula kes dia menjadi pengarah klip video lakonan Prema Yin dan Shahz Jazle yang dikatakan melampaui batas.

Rentetan daripada kes-kes itu saya ingat Gambit sudah berubah dan menjadi orang yang paling “cool” selepas beberapa siri perangai buruknya yang menjadi kebencian banyak pihak. Tapi sayang sekali... “hampehhh”.

Akhirnya Gambit mengulangi perkara yang sama dengan melampiaskan kemarahannya menerusi Facebook apabila menyamakan peminatnya seperti anjing dan babi.

Saya faham maksud Gambit. Dia sebenarnya marah dengan kritikan peminat yang terus menghentamnya. Jadi dia terpaksa meredakan sakit hatinya itu dengan membalas menggunakan kata-kata kesat kepada mereka.

Saya pun pernah mengalami perkara serupa. Saya masih ingat lagi semasa saya mendedahkan kisah cinta Mawi dan mengkritiknya dahulu, peminat-peminat Mawi turut memaki hamun saya.

Kata mereka Mawi tak bercinta. Saya yang pandai-pandai menulis kisah Mawi dengan wanita bernama Ekin itu kerana saya sakit hati dengan Mawi.

Saya juga mendapat surat ancaman, mendapat surat layang memanggil saya itu dan ini.

Saya senyum sahaja membaca kata-kata itu kerana saya percaya dengan keupayaan diri saya. Untuk menjadi kuat dan berani, kita perlu menempuh halangan dan ujian yang datang dari pelbagai sudut.

Akhirnya apabila ternyata dakwaan itu benar, saya terus tersenyum. Gambit sepatutnya menjadi seperti itu. Persetan segala apa yang orang kata jika ingin berjaya.

Ini tidak, semua kutukan yang diterima Gambit tidak diambil secara positif sebaliknya Gambit terus melakukan pendekatan dengan memberi reaksi yang negatif kepada peminat.

Jadi akhirnya filem lakonan Gambit, Karipap Karipap Cinta (KKC) menerima habuan. Peminat yang kena maki dengan Gambit itu terus menyebarkan berita negatif perlakuan Gambit membuatkan popularitinya semakin menurun.

Kesannya terhadap semua projek yang Gambit lakukan. Filem KKC yang dibikin dengan kos RM1.9 juta itu hanya mendapat kutipan RM280,000 sahaja (mengikut rekod Finas).

Walaupun produser dan pengarahnya iaitu Othman Hafsham tidak menyalahkan Gambit tetapi saya percaya Gambit turut menjadi punca kerana kegagalannya untuk mempengaruhi penonton menyaksikan lakonannya di pawagam. Malah di Internet, peminat semua kata tak mahu tonton KKC kerana Gambit.

Akhirnya, apabila wujud perasaan benci itu, ia akan memakan diri. Yang akan gigit jari nanti siapa, kalau bukan Gambit? NIEZAM: Lebih baik gigit jari daripada gigit kaki.

Mohd Naguib perlu buktikan

Kalau kita nak bercakap tentang isu filem, rasanya 44 hari pun tak akan habis. Orang filem sebenarnya suka bertelagah di antara satu sama lain. Itu tak kena, ini tak kena.

Mereka lebih banyak tak puas hati daripada untuk menjadi seorang yang berpuas hati. Tengok sajalah persatuan-persatuan filem pun mana ada yang sukses. Tak ada isu yang berjaya diketengahkan dan diselesaikan dengan baik.

Malah filem-filem kita pun gagal mempengaruhi minda penonton. Filem-filem yang tidak membina masih mendapat tempat dengan kutipan yang luar biasa. Hasilnya filem lawak-lawak bodoh akan terus dibikin untuk tujuan komersial bagi meraih keuntungan.

Akhirnya filem yang menelan belanja kos puluhan juta ringgit yang mahu mengajak masyakat berfikir tidak akan ke mana. Takkan selamanya kita karya-karya jumud akan terus dihasilkan semata-mata kerana wang?

Saya gembira dengan prestasi penghasilan filem sejak kebelakangan ini yang menunjukkan peningkatan mendadak. Pada tahun 2009, kita mampu menghasilkan 29 buah filem setahun. Pada tahun 2010 jumlahnya meningkat kepada 39 buah. Sehingga akhir tahun ini dijangka ia melebihi 40 buah filem akan dihasilkan. Banyak tu!

Pada tahun 1980-an, nak dapat sepuluh buah filem setahun pun susah. Ia satu kejayaan yang besar industri perfileman sekarang ini.

Atas dasar itulah Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang baru dilantik iaitu Mohd Naguib Razak perlu melakukan satu transformasi secara drastik terhadap dunia filem tempatan.

Saya tahu bukannya mudah tetapi atas keupayaan Mohd Naguib yang berpengalaman pada peringkat antarabangsa, beliau kena buktikan dan jangan hanya bercakap kosong sahaja.

Untuk membawa filem ke peringkat lebih tinggi bukannya mudah jika tiada kesungguhan. Saya ingin melihat bagaimana kesusahan itu dapat dipikul oleh Naguib kerana janjinya untuk membawa arus perubahan tersebut.

Lagipun beliau memohon untuk menduduki jawatan tersebut.

Melihat karakternya saya percaya kepada kemampuan Naguib. Orang-orang filem sekarang pun sedang memerhatikan kebolehan beliau itu dan saya menyokongnya seratus peratus untuk melihat beliau membawa perubahan besar agar landskap dunia perfileman kita benar-benar berubah.

Ia termasuk juga isu Syarat Wajib Tayang (SWT) yang mendapat rungutan apabila ia tidak memenuhi kehendak produser bagi filem-filem bertema. Seperti filem Raya Tak Jadi, yang layak ditayangkan pada Hari Raya.

Malangnya ia mendapat kelulusan untuk menemui penonton selepas sambutan berkenaan. Pada masa yang sama isu filem Nasi Lemak 2.0 juga tidak mendapat kelulusan SWT dan tayangannya berdasarkan kepada perbincangan pihak produser dengan pemilik pawagam. Ia sama seperti kes filem 2 Alam yang cuba mengetepikan peranan SWT.

Adakah cara sebegini harus dibenarkan? Semuanya terletak di tangan Mohd Naguib untuk mencari jalan penyelesaian.

NIEZAM: Sudah nampak jalannya...

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

15 Sekolah Cina Terima RM15 Juta

Artikel Lain