suria

Polis dan Media Perlu Mantapkan Hubungan Profesional

KANGAR: Polis dan media perlu sentiasa memantapkan hubungan profesional kerana kedua-duanya saling memerlukan, kata Ketua Polis Perlis, SAC Zull Aznam Haron.

Katanya laporan-laporan yang berkesan yang boleh membantu masyarakat menghindari gejala jenayah amat digalakkan.

"Amalan profesional antara polis dan media membuka ruang dan peluang untuk kedua-dua pihak saling membantu," katanya pada Malam Jalinan Kasih PDRM bersama Media 2011 di Sungai Batu Pahat dekat sini malam Sabtu.

Beliau juga berharap anggota media dapat mengelakkan penyiaran berita-berita yang boleh disensasikan oleh pihak tertentu kerana ia boleh menimbulkan keresahan umum.

Anggota media diharap sentiasa menghubungi polis untuk mendapatkan gambaran tepat berhubung sesuatu kes yang meragukan.

Zull Aznam berkata, ada juga soalan media yang tidak dapat dijawab oleh polis dan ini tidak bermakna polis menolak kerjasama.

"Ada kes yang masih dalam siasatan dan ada perkara yang tidak boleh didedahkan lebih awal," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut