suria

Peruntukan RM30 Juta Bagi Program Transformasi Kedai Runcit

BERA: Sejumlah RM30 juta diperuntukkan di bawah Program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) untuk tahun ini dalam usaha meningkatkan tahap daya saingan dalam persekitaran perniagaan peruncitan yang kompetitif.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sehingga lapan bulan pertama tahun ini sebanyak 300 kedai lama dan usang di seluruh negara telah berwajah baru dengan disediakan pelbagai kemudahan untuk tarikan pelanggan.

"Kedai-kedai itu membabitkan kedai runcit persendirian, kedai koperasi bengkel kereta dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka dan Hari Raya anjuran bersama Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Bahagian Bera di Dataran Bera, di sini, Ahad.

Beliau berkata kos bagi membaiki dan menaiktaraf setiap kedai runcit ialah RM60,000 sebuah.

"Ada sesetengah kedai runcit yang dulunya lesu, kurang pendapatan akibat kekurangan pelangan kerana usang dan lama, tetapi sejak berwajah baru kini menjadi kunjungan utama pelanggan," katanya.

Ismail Sabri berkata pihaknya mensasarkan 500 kedai akan berwajah baru sebelum akhir tahun ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain