suria

Perhilitan Patahkan Cubaan Jual Tujuh Ekor Landak

ALOR SETAR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menggagalkan cubaan menjual tujuh ekor landak jenis Raya oleh dua lelaki tempatan untuk dijadikan masakan eksotik dalam serbuan di Padang Terap di sini Sabtu.

Pegawai Penguatkuasa Perhilitan Kuala Lumpur Celescoriano Razond berkata serbuan oleh sepasukan anggota Perhilitan Kuala Lumpur dan Kedah pada pukul 9.15 pagi itu dilakukan hasil maklumat awam.

Beliau berkata haiwan eksotik yang dirampas itu dipercayai untuk dijual di restoran makanan eksotik ekoran mendapat permintaan tinggi di kalangan penggemarnya.

"Haiwan itu merupakan spesis hidupan liar dan terancam yang terjadual di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716)," katanya ketika ditemui di Pejabat Perhilitan di Bukit Pinang dekat sini hari ini.

Beliau berkata dua lelaki berusia 30-an yang bekerja sendiri itu dipercayai menyimpan landak berkenaan dalam sebuah sangkar di sebuah ladang di daerah itu sejak enam bulan lepas.

Siasatan awal mendapati bekalan landak itu diperoleh daripada pemburu haram yang memburu haiwan itu di kawasan hutan sekitar negeri ini.

Sekiranya landak yang cuba dijual itu adalah landak jantan, kedua-dua lelaki itu akan disiasat mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi landak betina pula, kes akan disiasat mengikut Seksyen 62 akta sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain