suria

Media Berperanan Tangani Konflik Malaysia-Indonesia

BUKIT TINGGI (SUMATERA BARAT): Pengamal media berperanan memastikan hubungan erat antara Malaysia-Indonesia dikekalkan menerusi laporan berita seimbang tanpa berunsur provokasi.

Gabenor Sumatera Barat, Irwan Prayitno berkata, konflik yang timbul antara kedua-dua negara boleh diatasi dengan baik sekiranya sesuatu isu yang timbul tidak diperbesarkan oleh pihak media sama ada Malaysia ataupun Indonesia.

Katanya laporan agresif yang semata-mata melihat kepada keuntungan sahaja akan meruntuhkan hubungan baik yang terjalin sejak dahulu.

"Memang kita ada pelbagai isu seperti tenaga kerja, persempadanan mahupun yang membabitkan budaya...tapi semua itu jangan ditangani dengan agresif, sebaliknya perlu diatasi dengan kolektif," katanya ketika berucap pada majlis perasmian program Pertemuan Wartawan dan Budayawan Malaysia-Indonesia di sini, Sabtu.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Menteri Komunikasi dan Informatika Indonesia, Tifatul Sembiring.

Mengulas lanjut Irwan berkata, konflik yang ditimbulkan menerusi provokasi media akan hanya merugikan kedua-dua negara terutama untuk jangka masa panjang.

"Jika timbul beberapa isu, kita perlu tangani dengan penang demi memelihara hubungan baik.

"Tapi kalau media dengan sengaja memanaskan sesuatu isu, pasti hubungan erat seperti keluarga yang terjalin sebelum ini akan menjadi getir. Laporan media perlu tepat tanpa perlu ditokok tambah," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain