suria

Lebih 140 pangkalan haram dikesan - UPP

PUTRAJAYA: Wujud lebih 140 pangkalan haram di beberapa kawasan sempadan di negara ini yang menjadi sarang kepada aktiviti penyeludupan dikesan oleh Unit Pencegah Penyeludupan (UPP).

Ketua Pengarah UPP, Datuk Ab Rahim Ismail berkata, pangkalan haram merupakan antara kaedah yang digunakan oleh penyeludup selain laluan utama dan laluan tikus sama ada melalui jalan darat atau air.

“Ia lebih tertumpu kepada laluan air seperti Sungai Golok, Kelantan yang bersempadan antara Malaysia dan Thailand.

“Dari pondok-pondok kecil, pangkalan nelayan, pelantar tidak aktif sehingga ke perahu-perahu yang melalui sungai itu merupakan antara pangkalan haram dikenal pasti,” katanya kepada Mingguan mStar di sini, baru-baru ini.

Ab Rahim yang juga merupakan Setiausaha Bahagian Kepolisan dan Kawalan Sempadan Kementerian Dalam Negeri berkata, kedudukan pangkalan haram bagaimanapun sentiasa berubah-ubah bagi mengelak kegiatan penyeludup dihidu oleh pihak berkuasa.

“Perubahan kedudukan tersebut merupakan cabaran bagi UPP dalam menjalankan operasi kerana pergerakan penyeludup tidak mengira waktu.

“Selain itu, teknologi komunikasi turut disifatkan sebagai faktor yang melancarkan pergerakan mereka dalam menjalankan aktiviti penyeludupan,” katanya.

Sehubungan itu katanya, UPP sentiasa membuat kajian dan risikan serta menganalisis mengenainya sebelum melakukan serbuan atau sekatan berdasarkan sumber yang diperoleh daripada pemberi maklumat.

“UPP mengkaji tentang trend penyeludupan dan latar belakang penyeludup. Mereka dengan taktik mereka dalam menjalankan kegiatan itu dan kita (UPP) pula bertindak secara efektif dan progresif,” katanya.

Selain pangkalan haram, UPP turut mengesan ‘buruh tanggung’ yang membawa barang seludup secara kecil-kecilan menggunakan motosikal atau hanya berjalan kaki berikutan jarak antara kedua lokasi berdekatan.

“Itulah kerja mereka dari generasi ke generasi untuk cari makan. Mereka tidak tahu yang dilakukan itu adalah sebahagian daripada aktiviti penyeludupan dan menyalahi undang-udang.

“Begitu juga dengan UPP yang sentiasa berusaha membanteras aktiviti penyeludupan di samping memelihara keselamatan negara serta membantu memerangi jenayah rentas sempadan,” katanya.

UPP merupakan gerakan bersepadu (strike force) bagi membanteras aktiviti penyeludupan di sempadan yang dianggotai oleh tiga agensi penguat kuasa iaitu Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Kastam Diraja Malaysia.

Pada masa ini, UPP beroperasi di empat negeri yang bersempadan dengan Thailand iaitu Kelantan, Kedah, Perlis dan Perak.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain