suria

Lebih Ramai Pakar Diperlukan Untuk Perangi Penggubahan Wang Haram - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Jumlah pengubahan wang haram seluruh dunia dianggarkan antara dua peratus dan lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setiap tahun, demikian menurut Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

Jumlah itu bersamaan dengan US$800 billon hingga US$2.0 trilion (US$1=RM3.1674) setahun.

Di Malaysia, pihak berkuasa telah membawa kes-kes melibatkan aktiviti pengubahan wang haram bernilai sehingga RM2.3 bilion ke mahkamah, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semasa Persidangan Antarabangsa mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) 2011.

Ini berdasarkan kepada jumlah wang yang terlibat dalam kes pendakwaan pengubahan wang haram semata-mata dan jika dilihat kepada kepada pemerdagangan manusia dan dalam konteks jenayah transnasional lain, angka-angka itu mungkin lebih tinggi, kata menteri itu.

Hakikatnya, angka-angka ini masih lagi kecil.

Ketua Eksekutif Persatuan Pematuhan Antarabangsa (ICA) William B. Howarth berkata jumlah wang yang telah dicemari dengan wang jenayah telah berkembang dengan signifikan dan skalanya memang besar.

Sementara pengawal selia kewangan dan agensi keselamatan global mesti terus bekerjasama dalam memantau dan memerangi secara keras sumber pengubahan wang haram dan aktiviti pembiayaan keganasan, adalah penting untuk mereka melatih tenaga kerja masing-masing.

Bercakap kepada Bernama pada (IFCTF) 2011 itu, Howarth berkata mereka yang tidak bertanggungjawab terhadap pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan tahu bagaimana untuk bergerak ke hadapan, malah, kadangkala lebih pantas daripada pihak berkuasa.

Beliau berkata Malaysia telah berusaha keras untuk mengekang perkara itu dan sekali gus, melatih pakar adalah antara langkah penting untuk menangani masalah itu.

Satu program ke arah ini ialah menerusi Program Persijilan Institut Bank-bank Malaysia (IBBM) Anti Pengubahan Wang Haram/Pembiayaan Keganasan (AML/CFT) yang dilancarkan semasa acara IFCFT itu.

Persijilan AML/CFT ini sama-sama diberikan oleh ICA dan IBBM dengan kerjasama Fakulti Perniagaan University of Manchester dan disokong oleh Institut Kewangan Asia.

Program itu mengambil persijilan antarabangsa ICA dan menerapkan prinsip-prinsip teras, undang-undang dan amalan Malaysia bersama-sama dengan amalan terbaik antarabangsa.

Sementara itu, persidangan IFCTF yang berlangsung selama dua hari itu disesuaikan dengan keperluan unik institusi kewangan Malaysia dan industri lain yang berkaitan dengannya.

Dalam pada itu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata satu badan khusus seperti National Fraud Authority di United Kingdom, diperlukan di Malaysia bagi memerangi jenayah seumpama itu.

Negara mungkin memerlukan satu agensi hanya untuk mengendalikan kes-kes penipuan dan meningkatnya jumlah itu ialah kerana fokus agensi penguatkuasaan undang-undang pada masa ini adalah terlalu meluas.

Sementara itu, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Nor Shamsiah Mohd Yunus memberi jaminan kepada para delegasi yang BNM akan memastikan kesemua institusi kewangan terus mengukuhkan pertahanan mereka terhadap ancaman seumpama itu menerusi dasar peraturan serta aktiviti penyeliaan dan pengawasan berasaskan risiko.

Untuk IFCTF akan datang, pengerusi IBBM Tan Sri Azman Hashim pula mencadangkan perbincangan terhadap dasar itu untuk membenarkan pasaran bebas dan peraturan kendiri dalam pasaran kewangan.

"Saya cuma fikirkan sama ada untuk masa depan kita seharusnya menggabungkan dalam lingkungan jenayah kewangan jenis krisis kewangan yang telah disabitkan semasa Krisis Kewangan Dunia 2008/9 yang masih berlaku hari ini?

"Mereka yang bertanggungjawab untuk jenayah itu menerusi bank-bank pelaburan, dana lindung nilai dan institusi-institusi kewangan yang lain masih ada," kata beliau.

Azman menambah tidak ada seorangpun eksekutif yang terlibat dalam gadaijanji penipuan, menyulitkan swap penipuan kredit, mencagarkan obligasi hutang telah dipenjarakan walaupun aktiviti mereka telah membinasakan jutaan nyawa. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain