suria

Klip Video 'Undilah' Ditarik Balik Kerana Tiada Kelulusan LPF - SKMM

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata penarikan semula penyiaran klip video 'Undillah' adalah kerana ia belum mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Agensi itu berkata, hasil pemantauan yang dibuat secara rutin menunjukkan pengumuman khidmat awam (PKA) yang dihasilkan oleh pemuzik Pete Teo belum mendapat kelulusan daripada LPF.

"Atas hasil pemantauan pematuhan secara rutin yang dibuat oleh SKMM, didapati PKA tersebut belum mendapat kelulusan daripada LPF untuk disiarkan di televisyen.

"Oleh itu, PKA tersebut tidak sepatutnya disiarkan di televisyen sehingga ia telah mendapat kelulusan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut kenyataan tersebut, di bawah AKM 1998, semua penyiar mesti menghentikan penyiaran klip video berkenaan.

"Arahan ini adalah mengenai pematuhan oleh pihak penyiar dan bukannya kandungan PKA tersebut," katanya.

Justeru, SKMM menegaskan klip video berkenaan tidak boleh disiarkan di mana-mana stesen televisyen sehingga ia mendapat kelulusan.

Klip video berdurasi 4.38 minit turut menampilkan 40 personaliti termasuk ahli politik Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Antaranya ialah Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong dan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin.

Personaliti lain termasuklah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Ahli Dewan Undagan Negeri (ADUN) Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad.

Ia dilancarkan sempena sambutan Hari Malaysia minggu lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain