suria

Kes Letupan Sg Golok: Suspen Disyaki Sembunyi Di M'sia

NARATHIWAT: Polis Thailand sedang memburu dua beradik yang merupakan ketua kumpulan dadah di selatan negara itu, yang disyaki terlibat dalam kejadian letupan bom di pekan Sungai Golok yang meragut lima nyawa dan mencederakan 115 orang pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Narathiwat, Mejar Jeneral Chaithat Intanuchit berkata, dua beradik itu dipercayai sedang bersembunyi di Malaysia.

Katanya, polis Thailand telah memaklumkan kepada pihak berkuasa Malaysia mengenai kedua-dua suspek itu yang masing-masing berumur 26 dan 27 tahun yang mempunyai dua kewarganegaraan iaitu Malaysia dan Thailand.

"Ini merupakan serangan ketiga dirancang oleh mereka dan dua kejadian letupan bom sebelum ini, juga di Sungai Golok pada Ogos dan September pada 2009," katanya kepada pemberita Malaysia menerusi penterjemah di sini.

Polis percaya serangan itu adalah sebagai membalas dendam selepas operasi anti-narkotik ke atas kumpulan pengedar dadah di selatan Thailand di mana pihak berkuasa berjaya merampas dadah, wang tunai, senjata api dan emas bernilai 8 juta Baht (RM800,000), tiga hari sebelum kejadian letupan bom itu berlaku.

Kejadian letupan bom pada 16 September lepas dengan bahan letupan itu diletakkan dalam sebuah kereta dan dua buah motosikal di pekan yang bersempadan dengan Malaysia adalah yang terbesar sejak kerajaan baru mengambil alih pentadbiran Thailand pada Ogos lepas.

Lebih 4,700 orang terbunuh di wilayah yang penduduknya majoriti Islam itu sejak kumpulan militan melancarkan pemberontakan pada 2004.

Chaithat mendakwa, polis telah memperoleh rakaman kamera litar tertutup yang memaparkan kehadiran seorang daripada suspek di depan Hotel Merlin di Sungai Golok, beberapa minit sebelum kejadian letupan bom itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain