suria

Kanak-Kanak Sindrom Down Maut Selepas Terjatuh

MARANG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun maut selepas terjatuh dari tingat lima kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Marang di sini, Sabtu.

Ketua Polis Dearah Marang, DSP Ahmad Mazlan Yahaya berkata mangsa, Ahmad Safuan Syafik Afandi yang mengalami sindrom down dan hiperaktif dipercayai terjatuh kira-kira jam 7.45 pagi tadi.

Mangsa ditemui oleh seorang anggota polis yang kebetulan melalui kawasan kejadian. "Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas tangan dan kaki kirinya patah dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

"Sebelum kejadian, ada seorang anggota polis terserempak dengan mangsa di tingkat enam di kuarters berkenaan dan bertanya kepada mangsa, dia hendak ke mana, tetapi mangsa terus berlari ke tingkat bawah," katanya kepada pemberita di IPD Marang di sini.

Bapa mangsa, Syafik Afandi Ahmad, 44, berkata semasa berlakunya kejadian tersebut beliau bersama isteri dan tiga anaknya yang lain berada di dalam rumah dan tidak menyedari anak keempatnya dari lima beradik itu telah keluar rumah.

"Walaupun Allahyarham adalah pesakit sindrom down dan hiperaktif, dia manja dengan semua anggota keluarga yang lain dan tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik terhadap dirinya.

"Lazimnya, pintu rumah selalu berkunci, kemmungkinan semasa anak saya yang lain keluar untuk ke sekolah pagi tadi, mereka lupa untuk mengunci pintu sehingga membolehkan arwah keluar," katanya.

Sementara itu anggota polis yang menjumpai mangsa, Marina Jaafar, 37, berkata beliau melihat sebuah objek jatuh ketika menghampiri kawasan kejadian tanpa menjangkakan bahawa ia adalah seorang kanak-kanak.

"Selepas mendengar bunyi kuat, saya berlari ke tempat kejadian dan melihat seorang kanak-kanak telah terbaring di kaki lima dalam keadaan mengiring dan mengalami kecederaan yang teruk. Seterusnya saya bertindak dengan meminta bantuan daripada anggota polis lain di kawasan berdekatan," katanya.

Jenazah mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada anggota keluarganya untuk urusan pengebumian di Kota Baharu, Kelantan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa yang ditemui dibilik mayat HSNZ berkata beliau sedih dengan insiden tersebut dan berjanji akan menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain