suria

Jabatan Penerangan Sedia Hadapi Pilihan Raya - Maglin

KUALA SELANGOR: Jabatan Penerangan bersedia menghadapi pilihan raya umum ke-13, yang dijangka diadakan dalam masa terdekat, kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Denis D'Cruz.

"Jabatan Penerangan dan jentera kami sudah bersedia. Sebenarnya, ia telah menjadi amalan kami sejak sekian lama bahawa apabila satu pilihan raya umum berakhir, kami menyiapkan jentera bagi pilihan raya akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Merakyatkan Seni Budaya Kenduri Daun Pisang" di Sekolah Tamil Bestari Jaya dekat sini, Sabtu.

Program itu dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Selangor dengan kerjasama Komuniti Bestari Mukim Ijok.

Sementara itu, Maglin kesal berhubung kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan dari DAP untuk menukar bendera kebangsaan kerana reka bentuk sekarang menyerupai bendera Barisan Nasional (BN) dan tidak melambangkan Malaysia.

Katanya ulasan sedemikian boleh mengelirukan orang ramai terutama generasi muda berhubung fakta sejarah negara.

"Seluruh dunia tahu mengenai bendera kita dan saya tidak tahu kenapa pembangkang membangkitkan isu ini sekarang. Saya percaya dia (Manoharan) sendiri mengibar bendera kebangsaan semasa bersekolah dulu. Ini menunjukkan bahawa pembangkang cenderung lupa mengenai negara ini sebaik mendapat kedudukan," katanya.

Pada 16 September lalu, Manoharan membuat kenyataan pada laman sosial Facebooknya bahawa beliau enggan mengibarkan Jalur Gemilang kerana ia lebih mirip bendera BN bukan Malaysia.

Sementara itu, Maglin berkata perbalahan antara anggota pakatan pembangkang berhubung pelbagai isu seperti hukum Hudud menunjukkan ia dilakukan atas kepentingan politik.

Sebelum itu, Maglin mengumumkan peruntukan RM5,000 kepada sekolah itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain