suria

Semua Akan Dapat Manfaat Jika Malaysia Jadi Negara Berpendapatan Tinggi:Najib

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan komited dengan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi tetapi usaha itu tidak dapat dilakukan oleh kerajaan secara bersendirian.

Menegaskan pentingnya mencapai status negara berpendapatan tinggi, Najib berkata golongan masyarakat yang terdiri daripada perbadanan, perusahaan, pekerja, cendekiawan dan penyelidik perlu mengumpulkan sumber kolektif mereka dalam memastikan matlamat itu direalisasikan.

Dalam ucaptama pada persidangan kebangsaan "Menjadikan Negara Berpendapatan Tinggi, Satu Realiti" di sini hari ini, Najib berkata: "Tiada siapa boleh meragui komitmen kerajaan dalam perkara ini, dan saya berharap persidangan hari ini akan menunjukkan bahagian lain masyarakat yang sama-sama berdedikasi dan bersedia memainkan peranan dalam memajukan ekonomi."

Perdana Menteri berkata beliau mahu Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi kerana ia akan memberi manfaat kepada semua lapisan rakyat tanpa mengira agama, bangsa atau kawasan.

Beliau berkata dalam negara berpendapatan tinggi, pekerja memperoleh pendapatan lebih tinggi yang akan membawa kepada peningkatan guna tenaga swasta dan mewujudkan peluang perniagaan baharu untuk perusahaan kecil dan sederhana.

"Ini hanya satu daripada contoh bagaimana sebuah negara berpendapatan tinggi meningkatkan kelajuan pemindahan wang yang merangsang kitaran pesat pertumbuhan," katanya.

Najib berkata sebuah masyarakat berpendapatan tinggi juga bermakna lebih banyak pekerjaan di peringkat atas dalam skala pendapatan.

"Sebaik anda hasilkan lebih banyak ruang di peringkat atas, ia melahirkan lebih banyak peluang bagi orang di bawah untuk naik, yang mana ia membuka ruang anak tangga paling bawah untuk pekerja bagi peringkat kemasukan.

"Apa kata jika kita gagal mencapai cita-cita itu?

"Bukan sahaja Malaysia akan terperangkap dalam golongan berpendapatan pertengahan bagi beberapa tahun akan datang, kita juga akan melihat saingan kita di rantau ini akan terus maju dan akhirnya, meninggalkan kita, satu tamparan yang hebat kepada Malaysia secara keseluruhan," katanya.

Najib berkata jika Malaysia mendapati ia dikelilingi oleh negara-negara yang megah dengan pendapatan tinggi, standard kehidupan yang tinggi dan lebih banyak ekonomi yang berkembang, pelaburan asing yang penting akan mengubah haluan mereka daripada Malaysia.

"(Peluang) pekerjaan dan wang akan keluar daripada negara dan dengan bilangan pekerjaan yang sedikit, lebih ramai rakyat generasi muda Malaysia akan memilih untuk meninggalkan negara bagi memenuhi impian mereka di seberang laut.

"Saya percaya, jika keadaan di negara kita di peringkat yang sesuai, semua ibu bapa lebih suka anak-anak mereka untuk tinggal, belajar dan bekerja di sini," katanya.

Najib berkata sementara Malaysia telahpun mencapai kemajuan dalam usaha untuk mendapatkan status berpendapatan tinggi, satu faktor perlu diambil kira bagi memastikan ia berlaku menjelang 2020 iaitu untuk mengekalkan toleransi, penerimaan, kesederhanaan dan harmoni.

Beliau berkata Malaysia merupakan sebuah negara yang luar biasa tetapi " jika sebatang buluh mudah dipatahkan, jika anda himpun semuanya, (sudah pasti) anda akan menghasilkan suatu kekuatan yang tidak boleh dimusnahkan."

"Sejak merdeka, Malaysia telah membina kemajuan ekonomi atas kekuatan itu dan atas (semangat) perpaduan. Bagi memastikan kemajuan itu berterusan, kita perlu memastikan bahawa kesederhanaan, toleransi dan menghormati orang lain membentuk asas bagi pemahaman nasional," katanya.

Najib berkata ekonomi Malaysia telah berkembang begitu baik sejak merdeka tetapi "kita tidak mampu untuk duduk saja, mengambil mudah dan beranggapan semuanya akan terus baik."

"Adalah penting untuk kita mempunyai impian besar demi masa depan rakyat dan negara kita tetapi untuk menjadikan impian itu benar-benar terjadi kita perlu mengambil tindakan sebenar, tindakan yang disokong oleh urus tadbir yang baik, kestabilan politik, dasar yang baik dan melaksanakannya dengan berkesan," katanya.

Sasaran yang ditetapkan dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) sudah pasti satu cita-cita yang tinggi tetapi dengan perhatian dan komitmen yang terangkum dalam semangat Malaysia, tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh dicapai, katanya.

Beliau berkata dengan ekonomi negara terus pesat membangun, tiada rakyatnya yang akan ketinggalan.

"Saya ingin melihat peningkatan dalam industri berteknologi tinggi, tetapi bukan sehingga pekerja yang kurang mahir terjejas yang telah bertungkus lumus sejak setengah abad yang lalu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain