suria

Selangor Catat Simpanan Tunai RM1.1 Bilion

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor berjaya mencatatkan simpanan tunai berjumlah RM1.1 bilion pada tahun ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, jumlah tersebut merupakan rekod kewangan paling baik yang pernah dicatatkan oleh kerajaan negeri dalam tempoh 28 tahun.

“Dalam tempoh enam bulan tahun ini, kerajaan negeri berupaya menambah simpanan tunai sebanyak RM200 juta, menjadikannya RM1.1 bilion.

“Jumlah ini merupakan rekod kewangan paling baik negeri bertuah ini dalam tempoh 28 tahun,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Jumaat.

Menurutnya lagi, pada akhir tahun lepas, simpanan tunai Kerajaan Negeri Selangor berjumlah sebanyak RM918 juta.

Khalid berkata, perkara tersebut turut dimaklumkan kepada Yang diPertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam Majlis Santapan Malam anjuran Kerajaan Negeri Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam, pada Khamis.

Jelasnya, Seri Paduka juga telah dimaklumkan mengenai Program Merakyatkan Ekonomi Selangor yang diperkenalkan 100 hari selepas Pakatan Rakyat memerintah negeri itu dan sebanyak RM500 juta telah disalurkan terus kepada rakyat negeri itu.

“Saya memaklumkan perkara ini kepada Tuanku kerana kejayaan dan program-program yang dijalankan adalah untuk kebaikan rakyat di Selangor. “Ini kerana program-program ini kurang mendapat publisiti daripada media arus perdana,” katanya. Tuanku Mizan dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah pada Jumaat telah menamatkan lawatan rasmi selama tiga hari ke negeri tesebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain