suria

Pembunuhan Banting: Talian Milik Tertuduh Digunakan Di Subang Jaya, Banting

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, diberitahu bahawa talian telefon bimbit yang didaftarkan atas nama bekas peguam, N. Pathamanabhan telah digunakan untuk membuat dan menerima panggilan di Banting dan Subang Jaya, pada malam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya mati dibunuh.

Pakar teknologi dari Maxis Mobile Sdn Bhd, Ahmad Safuan Shaharani, 32, berkata berdasarkan bil terperinci yang dicetaknya dari sistem komputer syarikat komunikasi berkenaan, nombor tersebut yang menggunakan talian tetap telah digunakan di dua lokasi berbeza di Subang Jaya, dekat sini, iaitu di SS 15 dan SS17.

Selain itu, nombor yang sama juga telah digunakan di Banting, dekat sini di mana panggilan tersebut dipancarkan oleh dua pemancar Maxis yang terletak di Pekan Telok Datok dan Batu Laut 2, di situ.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Nur Azimul Azami Mohamad Nor, saksi yang telah berkerja di Maxis hampir 10 tahun lalu juga memberitahu, terdapat transaksi panggilan keluar dan khidmat pesanan ringkas (SMS) dibuat menerusi pemancar di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) yang berdekatan dengan Jalan Johan Setia, Klang, dekat sini.

Pemegang Diploma Kejuruteraan Elektronik dari Politeknik Ipoh, Perak itu pada keterangannya juga memberitahu talian tetap di atas nama anak sulung Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, dikesan membuat beberapa panggilan kepada talian di atas nama ibunya dan juga pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad yang turut sama ke Banting.

"Jangka masa panggilan tersebut adalah selama satu saat. Pada Maxis, panggilan berkenaan berjaya kerana dikenakan bayaran, tetapi ia mungkin masuk ke peti suara nombor-nombor terbabit, jika ada," kata Ahmad Safuan.

Keterangan sebelum ini menyatakan Sosilawati dan pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin berserta dengan Noorhisham dan seorang peguam Ahmad Kamil telah ke Banting pada petang 30 Ogos 2010 untuk bertemu seorang peguam bagi urusan mempercepatkan tarikh cek yang mana, menurut Erni Dekritawati Yuliana, mahu digunakan untuk membayar bonus hari raya pekerja.

Sosilawati dan Kamaruddin menaiki kereta mewah BMW X5 bernombor pendaftaran WTL 11 dan kereta tersebut dijumpai di kawasan letak lereta Apartmen Angsana, SS15, Subang Jaya.

Noorhisham yang berkerja di Bank CIMB cawangan Kampung Baru pula menaiki kereta BMW bernombor pendaftaran AAJ 5 milik Ahmad Kamil dan kereta berkenaan ditemui ditinggalkan di SS12, Subang Jaya.

Sementara itu, perbicaraan yang bermula pada pukul 9 pagi terpaksa ditangguhkan selama beberapa minit bagi ekoran bunyi meriam bersempena dengan majlis rasmi yang diadakan berhampiran dengan Kompleks Mahkamah di sini.

Apabila das pertama diletuskan, Hakim Datuk Akhtar Tahir, barisan pendakwaan dan peguam-peguam yang terlibat dalam perbicaraan tersebut saling berpandangan sebelum dimaklumkan mengenai sambutan berkenaan.

Akibat letusan meriam itu juga, satu mentol lampu berhampiran tempat duduk hakim terjatuh, dan Akhtar kemudiannya memutuskan agar perbicaraan ditangguhkan seketika sehingga letusan itu berhenti.

Dalam kes ini, Pathmanabhan, 42, sedang dibicarakan bersama tiga orang pekerja ladang, T.Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21, dan R.Kathavarayan, 31, atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, dan Kamaruddin Shamsuddin, 44, Noorhisham, 38, dan Ahmad Kamil, 32 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010 di sebuah ladang Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting.

Pendakwaan terhadap semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan akan bersambung pada Isnin ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain