suria

Koperasi Kecil Digalak Bergabung, Ceburi Perniagaan Besar

PUTRAJAYA: Koperasi kecil (mikro) lebih baik bergabung dengan koperasi besar bagi mewujudkan modal yang lebih besar sekaligus membolehkannya menceburi bidang perniagaan besar dan menguntungkan yang baharu, seperti industri komunikasi yang menjanjikan keuntungan besar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penglibatan beberapa koperasi dalam sektor berteknologi tinggi dengan berskala besar kini sudah menampakkan hasil yang membanggakan.

Katanya 85 peratus daripada lebih 8,000 koperasi di negara ini merupakan koperasi kecil yang pendapatan perniagaannya setahun tidak melebihi RM250,000.

"Lebih besar koperasinya, lebih besar gabungannya. Maka lebih banyak modal yang mereka perolehi dan lebih banyak peluang mereka untuk terlibat di dalam bidang yang lebih besar."

"Kalau mereka tidak mempunyai modal yang cukup bermakna mereka hanya boleh terlibat dalam sektor dan perniagaan sara diri yang mana hanya untuk kepentingan ahli-ahli sahaja. Akhirnya mereka tak berkembang," katanya.

Menurutnya, kerajaan menyasarkan sumbangan koperasi sebanyak 10 peratus dalam keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2020.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perkhidmatan Telekomunikasi Mudah Alih myAngkasa, 1 Koperasi 1 Jaringan 1 Komuniti di sini Jumaat.

Ia merupakan usahasama antara Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dengan Samata Communications Sdn Bhd, sebuah syarikat bumiputra untuk melancarkan telekomunikasi mudah alih 3G berkonsepkan teknologi MVNO bagi 8.4 juta ahli koperasi dengan jenama CLIXTER.

Ismail Sabri berkata projek itu membuka peluang perniagaan dan pembangunan ekonomi kepada 1,500 keperasi dan 100,000 anggota koperasi sebagai pengedar dan Reseller tanpa memerlukan modal yang besar.

Beliau yakin usahasama itu boleh menyumbangkan pendapatan RM1.302 bilion setahun atau RM108.52 juta sebulan untuk dikongsi bersama antara pengedar, penjual dan pengguna. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain