suria

Jabatan Peguam Negara Tarik Balik Permohonan Semakan Teoh

SHAH ALAM: Jabatan Peguam Negara pada Khamis, menarik semula permohonan semakan kehakiman yang difailkannya berhubung keputusan terbuka prosiding inkues siasatan kematian pembantu politik Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teoh Beng Hock.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup pada prosiding pengurusan kes yang dijalankan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Mahkamah Tinggi di sini, Khairul Nizam Abu Bakar.

Manoj berkata, tiada keperluan untuk semakan kehakiman tersebut didengar, berikutan suruhanjaya yang ditubuhkan untuk menyiasat kematian Teoh telah mengumumkan penemuannya.

Bagaimanapun, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh berkata, permohonan tersebut masih wujud memandangkan pihaknya telah memfailkan hujahan bertulis pada prosiding terdahulu dan perkara itu telah dimaklumkan kepada pihak mahkamah.

Khairul Nizam kemudiannya menetapkan 6 Oktober depan sebagai tarikh baru untuk pengurusan kes bagi menentukan sama ada prosiding semakan kehakiman tersebut masih berjalan.

Pada 7 Januari lalu, Jabatan Peguam Negara memfailkan semakan kehakiman itu terhadap keputusan terbuka yang diberikan oleh Koroner Azmil Muntapha Abas yang mendengar prosiding inkues terbabit.

Keputusan yang dibuat pada 5 Januari lalu bermaksud, kematian Teoh pada 16 Julai 2009 di Plaza Masalam, Seksyen 9, di sini tidak dapat dipastikan sama ada disebabkan oleh bunuh diri atau akibat dibunuh.

Kematian Teoh yang merupakan pembantu kepada Ean Yong Hian Wah menimbulkan pelbagai spekulasi kerana beberapa jam sebelum itu, dia dipanggil untuk hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang pada masa itu terletak di tingkat 14 plaza berkenaan.

Pada 26 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan suruhanjaya untuk menyiasat kematian Teoh yang dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong Cheng Yuen.

Suruhanjaya tersebut mula bersidang pada 14 Februari lalu dan laporan yang dikeluarkan pada 22 Julai lalu mendapati kematian Teoh adalah akibat membunuh diri berikutan sesi soal siasat yang agresif, berlarutan, menindas dan keterlaluan yang dilakukan oleh pegawai SPRM.

Suruhanjaya itu juga mendapati pegawai-pegawai SPRM tiada niat dan tiada sebab untuk membunuh Teoh, sebaliknya menjalankan soal siasat untuk mendapatkan pengakuan mendiang sebagai bukti agar Teoh boleh menjadi saksi kes penyelewangan membabitkan Ean.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain