suria

Biro Pemuda PBB Mahu Penjelasan Mengenai Firefly Ke Sarawak

KUCHING: Biro ekonomi Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mahu Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd Tan Sri Tony Fernandes memberi penjelasan mengenai sama ada Firefly dipaksa menamatkan penerbangan ke Sarawak berikutan pengambilalihan pengurusan Malaysia Airlines (MAS).

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, penasihatnya Abdul Aziz Adenan berkata beliau berkongsi kebimbangan Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Dr James Dawos bahawa kurangnya penerbangan ke Sarawak merupakan punca utama ketibaan pelawat yang kecil ke negeri itu.

"Jika Firefly dipaksa menamatkan penerbangan ke Sarawak, ia bukan sahaja memburukkan lagi industri pelancongan negeri itu malah penduduk sarawak yang berpendapatan rendah terpaksa membeli tiket daripada AirAsia," katanya.

Beliau berkata Menteri Pelancongan dan Warisan negeri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, dan Majlis Pelancongan Kawasan Pertumbuhan Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina juga bimbang terhadap pertukaran saham MAS-AirAsia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain